Google akhirnya mengaktifkan ciri mengambil nota secara automatik di Google Meet hari ini. Menerusi ciri “Take notes for me”, nota akan diambil secara automatik oleh Meet menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan kemudiannya rumusan akan turut dilakukan bagi memudahkan peserta mencari semula topik penting yang dibincangkan.
Pada ketika ini ia hanya menyokong sesi telesidang Meet dalam bahasa Inggeris sahaja. Selain itu nota yang dihasilkan disimpan dalam format Google Docs yang kemudiannya boleh dihantar kepada semua peserta secara automatik. Ini adalah kesinambungan kepada ciri transkrip automatik yang diperkenalkan tahun lalu. Ia sudah boleh dicuba sebilangan kecil pelanggan Google Workspace tahun lalu.
Untuk menggunakan ciri pengambilan nota secara automatik ini, anda perlu menjadi pelanggan Gemini Enterprise, Gemini Education Premium, dan memasang ciri AI Meetings & Messaging dalam Meet. Ciri masih diaktifkan secara berperingkat sehingga 10 September 2024.