Huawei Komited Membangunkan Penyelesaian Penjagaan Kesihatan Berkualiti Tinggi
Amy Maizuraa
Huawei dilihat terus meneroka dan mengembangkan pasarannya ke serata dunia hasil gandingan beragam teknologi yang mampu memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna. Selain itu Huawei juga menerapkan penambahbaikan dalam membina rangkaian jenama lebih kukuh menerusi banyak produk berkualiti tinggi.

Melalui acara Huawei TruSense System And Innovative Wearable Technologies di China, Huawei telah mengumumkan teknologi pemantauan kesihatan baharu yang akan mewujudkan nilai kepada ekosistem digital yang sihat, dan memacu kemajuan sosial. Ia dinamakan sebagai Huawei TruSense System yang meningkatkan kapasiti pemprosesan data sebanyak 15% lebih baik. Di samping mampu mengurangkan isyarat sebanyak 20% dan meningkatkan ketepatan pemantauan kadar degupan jantung khususnya semasa bersenam.


Ia turut memperoleh pengiktirafan pensijilan professional dalam bidang kesihatan bagi memastikan pengguna boleh menikmati pengalaman sama rata dengan kualiti tertinggi. Huawei juga akan melancarkan peranti boleh pakai baharu yang dilengkapi dengan TruSense System pada bulan September akan datang.

Selari dengan pelancaran ini sekumpulan media turut diberi peluang untuk melihat sendiri gabungan proses penghasilan peranti penjagaan kesihatan seperti jam tangan pintar. Dalam masa sama diberi pendedahan secara langsung tentang pelbagai teknologi dan pencapaian Huawei dalam pasaran peranti boleh pakai secara keseluruhannya. Artikel ini merupakan satu perkongsian kami bertujuan untuk bacaan bersama seterusnya dijangka mampu menerangkan mengenai proses pembangunannya.

Sebelum kita meneliti lebih lanjut adalah tepat jika dikongsikan terlebih dahulu bahawa Huawei memberi tumpuan kepada empat teras utama yang dijadikan sebagai panduan serta medium dalam melaksanakan proses pembangunan peranti yang lebih komprehensif. Ia juga bagi memastikan pelbagai inisiatif yang disediakan akan dikekalkan serta ditambah baik mengikut keperluan semasa.
Huawei pada asasnya mempunyai tiga makmal kesihatan dengan tumpuan kepada pembangunan inovasi berkualiti yang secara khusus berorintasikan untuk memenuhi keperluan pengguna. Misalnya seperti makmal kesihatan di Xi’an China tertumpu pada pengujian serta penyelesaian yang berkenaan dengan keupayaan alat berasaskan platform untuk perkhidmatan peranti boleh pakai terbaik.

Kemudian Songshan Lake Fitness & Health Science Lab pula akan meneroka potensi inovasi dan aplikasi teknologi dalam berbagai sektor untuk meramalkan permintaan pengguna dalam industri ini. Ketiga ialah European Fitness & Health Science Lab yang tertumpu pada mengkaji trend yang paling ketara dalam teknologi kesihatan dan kecergasan di seluruh dunia.

Jika dikhususkan dari aspek pembangunan penting, jenama ini menduduki tangga teratas di peringkat global dalam kelompok paling laris untuk Q1 2024. Ia turut merekodkan pertumbuhan jualan yang memberangsangkan dengan penghantaran lebih 150 juta unit sejak awal kemasukannya ke dalam segmen ini. Dalam pada itu Huawei juga berhasil mempertahankan kedudukan di tangga pertama untuk kelompok paling laris di China selamat lima tahun berturut-turut sejak 2019.
Kemudian mengembangkan lagi target pengguna aplikasi kesihatan Health yang kini berjaya mengumpul lebih 100 juta pengguna aktif bulanan di seluruh dunia. Kesemua ini boleh dianggap sebagai pencapaian yang besar sekaligus mengukuhkan posisinya sebagai salah satu pengeluar produk teknologi terkemuka dunia. Situasi ini diyakini akan terus mengalami trend yang bertambah baik pada masa mendatang selaras dengan penerusan pelbagai usaha menarik dilakukan oleh Huawei sendiri.


Diteruskan lagi artikel ini dengan proses penghasilan peranti penjagaan kesihatannya pula. Pada peringkat awal proses pengumpulan data dilakukan untuk mengumpul maklumat serta fakta yang diperlukan untuk pelbagai tujuan, seperti perancangan pembangunan atau penyelidikan saintifik. Proses itu boleh dijalankan dengan alat tertentu mengikut kaedah pengumpulan data termasuk kamera untuk mengumpul data.

Seterusnya seringkali memerlukan masa untuk meminimumkan berlakunya kesilapan, halangan atau masalah. Kesemua data kesihatan juga diperoleh daripada ujian ke atas seorang manusia sebenar yang kemudiannya digunakan sebagai rujukan untuk penghasilan produk. Dalam kaedah ini, Huawei menggunakan teknik analisis yang teliti untuk menggali konteks yang berkaitan.

Ianya bermula dengan bahagian Altitude Simulation Chamber yang membolehkan seseorang itu berlatih dalam keadaan hypoxia walaupun di paras laut dengan meniru keadaan di altitud tinggi. Ia mempunyai rangkaian penuh pilihan simulasi ketinggian dan teknologi pemisahan udara untuk memberi rangsangan latihan yang betul dengan berkesan yang membolehkan seseorang itu meningkatkan prestasi mereka walaupun di paras laut.

Seterusnya ialah Table Tennis Research & Testing Zone, di mana sebuah robot dan meja ping pong sebenar digunakan untuk untuk proses pengujian. Robot berkenaan boleh melaras kelajuan bola, dan juga kedudukan arah pukulan untuk meniru teknik seumpama seorang jurulatih yang berpengalaman.
Peranti boleh pakai Huawei berfungsi dengan mod ping pong untuk memantau kadar degupan jantung dan kalori yang dibakar sewaktu permainan. Dalam pada itu sensor yang digunakan juga mampu mengukur intensiti senaman dan melaraskan latihan pengguna untuk mencapai target kecergasan yang sepatutnya.

Kemudian kami ditunjukkan pula bahagian Swimming Research & Testing Zone yang direka khusus untuk senaman berasaskan air dan penyelidikan postur badan. Ia menyediakan platform untuk mengumpul dan mengesahkan data peranti boleh pakai. Malahan kolam renang juga disediakan dengan keupayaan dayung boleh laras yang mampu mencipta aliran air terkawal bagi tujuan meniru keadaan berenang yang sebenar.
Kualiti air turut dipantau sebaiknya dengan menggunakan produk pembasmi kuman rutin dan amalan pembersihan biasa. Sebagai tambahan kekerapan dan amplitud tendangan kaki juga penting. Oleh itu terdapatnya sistem kamera bawah air dan perisian analisis gerakan yang boleh bantu perenang mengenal pasti kawasan yang memerlukan penambahbaikan untuk meningkatkan prestasi.

Melalui Multifunctional Motion Research Zone pula terdapatnya sistem analisis postur pergerakan yang merupakan peralatan kecergasan khusus yang biasa digunakan di institusi penyelidikan peringkat tinggi. Berbeza dengan threadmill biasa, peralatan ini akan mensimulasikan keadaan dunia sebenar dengan pelbagai cara. Ia juga dilengkapi dengan vest pelindung dan tali keselamatan yang disambungkan ke sistem kecemasan, yang kemudian secara automatik memberhentikan operasi sistem sekiranya berlaku kejadian berbahaya dikesan.

Dengan pendekatan ini, Huawei dapat membuktikan komitmen mereka untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan terjamin semasa ujian dengan kelajuan maksimum mencapai 50km/j dilakukan. Sebagai tambahan sistem analisis ini juga berfungsi dengan peranti pengumpulan data lain untuk potur pergerakan dalam pelbagai aktiviti yang termasuk berbasikal, meluncur dan bermain skateboard.
Dikatakan juga bahawa bahagian Golf Research & Testing Zone menggunakan sejumlah peralatan berbeza yang meliputi skrin, sensor, kamera HD dan lain-lain bagi tujuan meniru keadaan padang golf sebenar. Pengalaman bertambah baik dengan kebolehan mengesan bola secara automatik untuk pengalaman lebih menyeluruh. Sistem juga akan mensimulasikan keadaan dunia sebenar untuk penyelidikan lebih baik bersama sokongan latihan terbina disediakan bersama.

Mendalami konsepnya lagi, zon ini digunakan untuk mengoptimumkan model algoritma ayunan tangan sewaktu bermain. Data asas daripada ayunan tangan akan dikumpul menggunakan peranti boleh pakai Huawei. Kemudian dibandingkan pula dengan model gerakan yang telah disahkan oleh sistem bertujuan untuk memastikan data yang digunakan adalah konsisten dan boleh dipercayai.

Exercise Physiology Research & Testing Zone pula digunakan untuk mempelajari pelbagai latihan kecergasan seperti latihan asas, latihan kelajuan, penyelidikan sains sukan dan sebagainya. Selain treadmill, panel kawalan juga disediakan untuk menunjukkan metrik latihan secara langsung termasuk masa, kelajuan, jarak, kadar degupan jantung dan indeks kesihatan lain.

Paling menarik ialah Rock Climbing Research Zone yang menyediakan dinding buatan setinggi 10.5-meter dan selebar 10.2 meter, dengan kawasan pendakian kira-kira 156-meter persegi. Dinding ini menawarkan lebih 10 laluan pendakian yang berbeza mengikut tahap kesukaran seterusnya membolehkan kajian mendalam mengenai latihan mendaki gunung dilakukan. Untuk panduan peribadi mana-mana individu terlibat boleh menggunakan Rock Climbing Mode pada peranti boleh pakai Huawei untuk memantau kadar degupan jantung dan kegunaan tenaga semasa sesi pendakian.


Untuk rujukan pembaca, makmal kesihatan yang diperkatakan dalam artikel ini ialah Songshan Lake Fitness & Health Science Lab, yang juga merupakan Huawei Health Lab terbesar di Dongguan China. Makmal kesihatan khas ini meliputi kawasan seluas 4680-meter persegi dan menyokong lebih 40 jenis ujian berkaitan kesihatan untuk tujuan kajian dan penyelidikan.

Kajian itu kemudian akan diimplementasi melalui produk pintar mereka dengan fokus terhadap kecergasan dan kesihatan. Sekaligus menunjukkan bahawa Huawei begitu komited terhadap usaha untuk membangunkan penyelesaian penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi. Huawei turut memberitahu bahawa aplikasi Huawei Health kini mempunyai lebih 100 juta pengguna aktif di seluruh dunia.
[info] Baca – Huawei TruSense System Menawarkan Pemantauan Kesihatan Lebih Jitu [/info]
[info] Baca – Aplikasi Huawei Health Kini Mempunyai Lebih 100 Juta Pengguna Aktif [/info]