Razer Wolverine V3 Pro Kini Tiba Untuk Pasaran Tempatan Pada Harga RM1029
Nazrin
Kira-kira dua tahun yang lalu, Razer telah memperkenalkan alat kawalan permainan video paling premium mereka, iaitu Razer Wolverine V2 Pro untuk konsol Sony PlayStation 5 dan juga komputer. Dua tahun kemudian, mereka telah memperkenalkan model yang lebih baru, iaitu Razer Wolverine V3 Pro.

Perbezaan paling ketara yang dapat dilihat pada model alat kawalan terbaru ini ialah Wolverine V3 Pro tidak lagi mempunyai pad sesentuh pada model sebelumnya, dan memperlihatkan rekaan corak alat kawalan Xbox Series yang nampaknya lebih digemari oleh golongan gamer.

Butang-butang muka pada alat kawalan ini juga menggunakan suis mekanikal yang menjanjikan pengaktifan yang lebih cepat, manalala dua kayuria pula menggunakan suis Hall Effect yang menjanjikan jangka hayat penggunaan yang panjang.

Satu ciri baru yang diperlihatkan pada alat kawalan Wolverine V3 Pro ini juga ialah empat butang picu di bahagian belakang yang menggunakan suis optikal yang secara lazimnya diperlihatkan pada tetikus. Kesemua butang-butang ini, termasuklah sensitiviti kayuria boleh diubahsuai melalui perisian Razer Synapse.

Butang picu R2 dan L2 juga boleh diubahsuai untuk hadir dengan pengaktifan pendek ataupun panjang secara fizikal bergantung kepada corak permainan anda.

Ini mungkin bukan satu ciri baru untuk alat kawalan siri Razer Wolverine V3 Pro, tetapi ia hadir dengan sokongan sambungan nirwayar HyperSpeed Wireless yang menyokong kadar penghantaran data setinggi 8000Hz. Tanpanya, sokongan nirwayar masih lagi ada, tetapi ia terhad kepada 850Hz yang lebih perlahan.
Cuma satu kekurangan di sini ialah aksesori penyesuai HyperSpeed Wireless tersebut perlu dibeli secara berasingan, dan tidak disertakan dengan alat kawalan Wolverine V3 Pro. Jika anda tidak memerlukan sokongan nirwayar pada alat kawalan anda, Razer turut memperkenalkan Razer Wolverine V3 Tournament Edition dengan sambungan berwayar USB pada harga lebih mampu milik.

Razer Malaysia mengatakan bahawa Razer Wolverine V3 Pro dan Razer Wolverine V3 Tournament Edition ini sudahpun mula dijual di kedai-kedai aksesori komputer pada harga RM1029 untuk model V3 Pro dan RM519 untuk model V3 Tournament Edition.