Carian
Pandang Pertama Acer Nitro Blaze 7 – Masa Depan Yang Gemerlap
September 5, 2024 Fahim Zahar

Semalam Acer telah melancarkan Nitro Blaze 7 iaitu konsol gaming Windows mudah alih pertama mereka. Saya berkesempatan mengujinya dan saya boleh katakan, cukup bagus Acer mengambil sedikit masa untuk mengeluarkan produk ini dan tidak terkejar-kejar kerana ia sememangnya adalah konsol yang lebih baik. Setakat cubaan saya untuk seketika, Nitro Blaze 7 mungkin dapat menarik perhatian ramai kerana rekaannya, butan-butang fizikal serta Acer Game Space yang bagus.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

ACER Nitro Blaze 7
Skrin7″ IPS, FHD (1920 x 1080), 144Hz, 500 nits,
sRGB, AMD FreeSync Premium
CPUAMD Ryzen 7 8840HS
(8-Teras, 16-bebenang, 24 MB cache, mencapai 5.1 GHz)
AMD Ryzen AI, 39 AI TOPS
GPUAMD Radeon 780M
(Mencapai 2.7 GHz, AMD RDNA 3 12 CUs)
RAM/Storan16GB LPDDR5x SDRAM,
Mencapai sehingga 2 TB M.2 NVMe PCIe 4.0 x4 Gen 4 SSD
Audio2x Speaker 1W
2x Mikrofon D-Mic
1x Port bicu audio 3.5mm
I/O & Butang2x USB4 (Type-C 40 Gbps)
1x Slot kad Mikro SD 4.0

A B X Y, D-Pad, Butang Bahu LB/RB, Analog LS/RS Sticks,
Analog Hall LT/RT Hall, Butang kuasa merangkap pengimbas cap jari,
Butang aras suara, Butang melihat, Butang menu, Butang Acer Game Space,
Butang papan kekunci, Butang Acer, Butang Mod
Bateri/Pengecasan50.04 Wh
65W
SIM/TelefoniWi-Fi 6E
Bluetooth 5.3
PerisianWindows 11
Acer Game Space
PC Game Pass (3 bulan)
Harga JualanHarga pasaran Eropah
€849 (~RM4,241), 512GB
Harga Malaysia mungkin bawah RM4000

Nitro Blaze 7 adalah sebuah konsol yang kompak kerana saiz skrin 7-inci. Lebar skrin ini adalah lebih kurang skrin Google Pixel 9 Pro XL. Bezel pada skrin agak tebal untuk produk tahun 2024, tetapi kerana ia adalah skrin LCD yang cukup berkuasa, nampak cantik dan merupakan produk generasi pertama Acer – ia boleh dimaafkan. Skrin kelihatan cukup terang dan sokongan sesentuhnya juga lancar. Kadar segar semula 144Hz dilihat hanya boleh dicapai dengan tetapan grafik rendah untuk beberapa permainan.

Acer memuatkan sebanyak butang fizikal yang boleh dimuatkan, yang mana cukup baik dan berguna. Misalnya, butang menyeru papan kekunci diberikan agar masalah papan kekunci yang lambat atau tidak keluar pada konsol seperti ini diselesaikan. Ada butang mod Eco, untuk memastikan peranti kembali berada dalam keadaan lancar jika kipas mula bising dan peranti mula memanas. Sayang sekali, banyak butang dalam konsol saiz kompak membuatkan jari jemari saya mudah lenguh dalam sesi bermain sekitar 5 minit.

Nitro Blaze 7 turut direka untuk pengaliran udara terbaik. Walaupun ada permainan sedang dimainkan tanpa henti dan konsol ini sentiasa disambungkan pada kabel pengecas di jerayawara Acer, ia masih tidak memanas dan kekal selesa di dalam tangan. Setiap butang kawalan seperti ABXY terasa sedikit lembut berbanding apa yang saya sukakan, tetapi butang bahu dan analog adalah sedap ditekan dan saya yakin walaupun jari akan lenguh – saya akan memaksa diri untuk bermain permainan kegemaran dalam jangka masa panjang.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Ketika di pentas, Acer memberitahu yang Nitro Blaze 7 ini menyokong pelbagai platform permainan video – jangan salah faham. Acer Game Space yang dibangunkan tidak menyokong pelagak konsol atau penstriman permainan video. Sebaliknya, sokongan multi platform ini adalah untuk pelancar permainan yang berbeza seperti PC Game Pass, Steam, Ubisoft dan pelbagai lagi. Selama ini saya sangkakan Armoury Crate pada ASUS ROG Ally X sudah cantik dan mudah digunakan, tetapi Acer Game Space ini benar-benar lebih selesa untuk digunakan.

Acer Game Space sangat ringkas dan mudah dikawal. Semua tetapan jelas terpapar dan pengguna biasa yang jarang bermain permainan video juga pasti tidak akan bermasalah dalam menerokai semua tetapan yang ada. Ketika saya menguji konsol ini, wakil Acer memberitahu banyak ciri pada Game Space ini masih dalam peringkat ujian dan hanya selepas Oktober 2024 nanti baru kemas kini versi stabil dan lebih lancar akan disertakan sekali.

Disebabkan Acer hanya mempunyai tiga unit Nitro Blaze 7 dan ada ratusan pengamal media lain yang menghadirkan diri turut ingin mencuba, saya hanya sempat meluangkan masa sekitar 10 minit pada permainan Horizon Forbidden West dan Shadow of the Tomb Raider. Padanan AMD Ryzen 7 8840HS dengan Ryzen AI, serta GPU AMD Radeon 780M yang turut menyokong Radeon Super Resolution adalah pilihan terbaik kerana prestasinya sangat memuaskan.

Tetapan lalai untuk grafik adalah campuran yang tinggi serta sederhana, mampu memaparkan grafik yang sedap mata memandang serta bergerak pada kadar 60FPS. Sementara tetapan paling rendah, tiada masalah untuk mencapai sehingga 100 FPS dengan grafik seakan permainan mudah alih Android. Walau bagaimanapun, tetapan grafik paling tinggi masih dibolehkan tetapi ia hanya bergerak pada kadar 30FPS ke bawah dengan grafik yang cantik tetapi sangat lengah masa dan tersangkut-sangkut.

Walaupun CPU yang digunakan bukan untuk konsol seperti AMD Ryzen Z1 Extreme, Ryzen 7 serba baharu ini membuktikan tiada masalah pun menggunakan CPU laptop atau PC pada konsol jika pengoptimasian perisian dilakukan dengan baik.

KESIMPULAN

Acer Nitro Blaze 7 walaupun sedikit lambat dikeluarkan berbanding pengeluar lain, mereka menemui formula yang hampir sempurna untuk konsol gaming Windows mudah alih generasi pertama. Ia sedap dipegang, rekaan yang menarik dan kompak yang benar-benar “mudah alih”, prestasi yang cukup mantap dan perisian Acer Game Space yang sangat mesra pengguna. Selain dari susunan butang yang terlalu rapat, saya tiada masalah dengan konsol ini dan membuatkan saya tidak sabar untuk tunggu ia dijual di Malaysia.

Buat masa ini, Acer hanya memberitahu sekitar hujung Oktober ke awal November ia akan dijual di Eropah dengan harga bermula €849 (~RM4,241) untuk variasi 512GB. Jika tolak cukai Eropah sekitar 15%, harga jualan untuk pasaran Asia seperti di Malaysia mungkin sekitar bawah RM4000 seperti konsol lain yang sudah mula dijual. Sama-sama kita nantikan.

PRO & KELEBIHAN

  • Rekaan yang lebih selesa dipegang.
  • Prestasi lebih pantas kerana Ryzen AI.
  • Sistem penyejukan yang lebih efisien.
  • Acer Game Space yang sangat mesra pengguna.
  • Kedudukan port sambungan yang mudah diakses.
  • Suis Hall Effect digunakan pada kayu analog dan butang.
  • Butang fizikal tambahan untuk mengakses papan kekunci.

KONTRA & KEKURANGAN

  • Skrin bukan OLED.
  • Jarak setiap butang dan analog terlalu rapat.
  • Risau akan ketahanan bateri.
  • Masih tidak mempunyai ekosistem aksesori tersendiri.
Komen