Seperti yang anda sedia tahu, komponen pemprosesan Intel Lunar Lake disahkan dibina oleh Taiwan Semiconductor Manufacturing Company, dan dipakejkan dan diuji oleh Intel sendiri. Ini adalah kerana proses-proses Intel yang baru seperti 20A dan Intel 4 belum sedia untuk mengeluarkan cip-cip mereka pada skala yang besar.
Malah, ia dapat dilihat pada laman web Intel Arc sendiri bahawa cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V dibina menggunakan proses TSMC N3B (3nm).
Terkini, pihak Intel juga telah mengesahkan bahawa perkara sama akan dilakukan untuk pengeluaran cip pemprosesan kelas desktop dan komputer riba berkuasa mereka, Arrow Lake yang akan dilancarkan sekitar bulan Oktober tahun ini.
Cip pemprosesan tersebut sebelum ini dilaporkan akan dibina menggunakan proses 2nm (Intel 20A) mereka sendiri, tetapi kenyataan yang dikeluarkan oleh Intel mengatakan bahawa mereka akan terus membangunkan teknologi proses 18A (1.8nm) mereka yang akan mula diaktifkan pada tahun 2025 kelak dan meninggalkan proses 20A.
Oleh kerana itu, cip pemprosesan Arrow Lake, yang akan dilancarkan tidak lama lagi, akan dikilangkan berkemungkinan besar oleh TSMC, dan dipakej dan diuji oleh Intel sendiri, sama seperti apa yang dilakukan untuk siri cip Lunar Lake.
Intel juga hari ini baru mengumumkan bahawa mereka akan menunda pengembangan kilang pempakejan dan ujian CPU mereka di Pulau Pinang, dengan sekitar 2000 orang akan terkesan akibat penundaan ini.