Telefon skrin boleh lipat baharu Honor Magic V3 secara rasminya memasuki pasaran global hari ini melalui acara IFA 2024. Ia masih mengekalkan takhta sebagai telefon skrin boleh lipat paling nipis dan ringan di dunia setakat ini. Kekurangan sebelum ini juga Berjaya ditebus oleh Honor untuk kali ini dengan menjadikan versi kali ini lebih berkuasa.
Antara penambahbaikan diberikan termasuk sistem kamera telephoto 50MP dengan kemampuan zum optikal 3.5X dan digital 100X. Ia diiringi juga dengan lensa utama 50MP yang menyokong OIS serta lensa ultra-lebar/makro sebesar 40MP. Profil gambar Harcourt turut boleh dirakam menggunakan sistem kamera peranti ini. Gambar swafoto pula boleh diambil menggunakan sensor 20MP dengan autofokus terbina.
Hal menarik lain ialah telefon kini kalis air IPX8 yang bermakna anda tidak perlu risau sekiraya terperangkap dalam hujan atau tertumpah air secara tidak sengaja. Ia juga kini menawarkan kemapuan pengecasan nirwayar 50W, yang melengkapi sistem pengecasan berwayar 66W yang disediakan. Bateri masih sejenis karbon silikon dengan kapasiti lebih besar iaitu 5,150mAh dan boleh dicas semula melalui port USB-C terbina.
Struktur binaan tubuh juga kini lebih nipis dengan ketebalan 9.2mm apabila dilipat dengan berat hanya 226 gram. Saiz skrin pula sebesar 6.43” diluar dan 7.92” untuk paparan utama. Kedua-duanya menyokong panel LTPO OLED dengan kadar segar semula 120Hz dan kemampuan stylus. Ia juga dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 untuk tunjang utama. Gabungan memori 12GB RAM, storan 512GB dan perisian MagicOS 8.0.1 (berasaskan Android 14) juga digunakan untuk pengalaman penggunaan lebih baik.
Modul AI terbina di dalam telefon juga mampu memudahkan kerja produktiviti pengguna. Misalnya seperti AI Magic Portal – Search To Do More yang memudahka carian imej dibuat kemudian berkongsi pula ke aplikasi yang menyokong untuk kegunaan yang pelbagai. Salah satunya ialah aplikasi Notes yang juga menyediakan pilihan suntingan tambahan menarik termasuk kebolehan membuat transkripsi secara masa nyata.
Dengan AI Face to Face Translation pula proses memahami bahasa asing menjadi mudah melalui kemampuan terjemahan secara masa nyata. Lebih baiknya lagi apabila ia menyokong Bahasa melayu yang dianggap satu kelebihan buat pengguna di pasaran ini. Manakala sebarang benda dalam gambar yang menimbul rasa kurang senang turut boleh dialih keluar dengan mudah menggunakan ciri AI Eraser.
Ia juga tidak kurang hebatnya dengan menawarkan sistem audio stereo yang menyokong IMAX audio, pengimbas cap jari sisi, NFC dan inframerah untuk kegunaan sebagai alat kawalan jauh. Harga jualan peranti ialah €1999.