Amazfit mula menawarkan jam tangan baharu T-Rex 3 di Malaysia. Ia merupakan jam tangan pintar tahan lasak dengan GPS dan jangka hayat bateri yang panjang. Ia boleh didapati pada harga RM1099 seutas dengan satu pilihan saiz dan warna sahaja.
Setiap pembelian juga akan didatangkan dengan Amazfit String Bag, Microfiber Towel dan botol air secara percuma. Selain daripada itu, Amazfit juga menawarkan pembelian atas pembelian untuk fon telinga Powerbuds Pro pada hanya RM99 sahaja. Ia dijual lebih awal mulai hari ini di DirectD kemudian jualan rasmi melalui Amazfit Malaysia pula pada 9 September 2024.
Amazfit T-Rex 3 menggunakan skrin AMOLED 1.5″ dengan resolusi 480 X 480 piksel dan kecerahan puncak 2000 nits. Ini bermakna ia didapati dua kali lebih terang berbanding versi sebelum ini. Selain itu mempunyai tubuh yang lebih tahan lasak dengan ketahanan bateri sehingga 27 hari untuk penggunaan biasa. Amazfit turut menambah Night Display Mode terbina yang amat berguna untuk sebarang aktiviti malam atau kurang pencahayaan.
Lebih 170 mod sukan terbina juga merangkumi pelbagai aktiviti seperti memancing, payung terjun, berlari dan banyak lagi. Diikuti dengan ciri dan fungsi kecergasan standard yang termasuk pemantauan degupan jantung dan pemantauan oksigen dalam darah. Lebih baiknya lagi apabila dipasangkan bersama aplikasi Zepp untuk kawalan dan pemantauan lebih mendalam.
Ia juga dikatakan boleh berfungsi dengan baik bersama Amazfit Helio Smart Ring yang dilihat menarik cuma sayangnya, tiada butiran mengenai ketersediaan cincin tersebut di Malaysia setakat ini.