Fujifilm Instax Mini Link 3 Kini Di Malaysia Pada Harga RM628
Effi Saharudin
Apa yang saya sedari ialah walaupun saya kini mengambil lebih banyak gambar dalam masa seminggu berbanding setahun pada tahun 2010, saya kini tidak mempunyai banyak gambar yang dicetak secara fizikal. Harga cetakan gambar yang mahal dan semakin banyak kedai gambar yang gulung tikar membuatkan banyak memori hanya wujud dalam bentuk digital. Hari ini Fujifilm melancarkan kamera Instax Mini Link 3 yang direka khusus untuk mencetak gambar terus daripada sebuah telefon pintar.

Instax Mini Link 3 mencetak gambar bersaiz mini menggunakan format Instax Mini Instant Film yang turut digunakan pada kamera Instax lain di pasaran. Ia bolehlah dilihat sebagai alternatif kepada filem Polaroid. Mesin pencetak ini boleh mencetak gambar dalam masa 15 saat sebelum gambar perlahan-lahan muncul pada filem dalam masa 90 saat selepas didedahkan kepada udara.
Penambahbaikan pada model terkini ialah sokongan pengecasan USB-C untuk mengecas bateri dan terdapat tiga lampu LED di bahagian hadapan yang menunjukkan status bateri dan status cetakan yang sedang dilakukan. Dengan bateri penuh, Fujifilm mengatakan 100 cetakan gambar dapat dilakukan dengan tempoh pengecasan semula bateri adalah sehingga 2 jam.

Ciri menarik lain Instax Mini Link 3 ialah ia boleh digunakan sebagai alat kawalan aplikasi kamera instax UP! dalam telefon pintar. Tekan butang kuasa pada sisi mesin pencetak dan gambar akan diambil oleh aplikasi. Aplikasi yang sama mempunyai ciri realiti terimbuh (AR) yang membolehkan kesan khas seperti objek 3D diletakkan dalam gambar secara maya. Seterusnya aplikasi juga hadir dengan mod cetakan kolaj, menghias gambar dengan bingkai dan menyusun gambar secara automatik sebelum dicetak.
Di Malaysia Fujifilm Instax Mini Link 3 dijual dalam bentuk kit lengkap dengan dua pek filem pada harga RM628 sebuah bermula hari ini dalam pilihan warna Clay White, Sage Green dan Rose Pink. Terdapat juga penawaran Instax Blind Box Pattern Film yang memberikan dua pek filem secara kepada pembeli pada harga RM86.