Dron Kargo ARES Untuk Tujuan Ketenteraan Berjaya Melakukan Penerbangan Pertama
Effi Saharudin
Dalam sejarah peperangan, anda boleh mempunyai senjata dan pasukan tentera yang terbaik tetapi kesemuanya akan musnah sekiranya disokong oleh logistik yang lemah. Ini yang berlaku kepada tentera Wehrmacht di St Petersburg, Rusia di Ukraine dan Hannibal ketika Perang Punic Kedua. Oleh itu tentera sentiasa memikirkan cara paling pantas dan selamat untuk membekalkan keperluan anggota di medan perang.

Projek Aerial Reconfigurable Embedded System (ARES) ialah projek DARPA yang pada asalnya adalah untuk membangunkan sebuah kereta terbang. Fokus ARES kemudiannya diubah menjadi dron VTOL yang boleh membawa kargo dan anggota tentera cedera di medan perang. Kontrak pembinaan prototaip ARES diberikan kepada Piasecki Aircraft dan minggu lalu ia berjaya melakukan penerbangan pertama. Dalam ujian pertama ia terbang dan terapung selama seminit sebelum kembali mendarat.

Ia mempunyai dua kipas terlindung yang dipasangkan kepada sayap yang pendek. Dua enjin helikopter diubahsuai untuk menguasai ARES dan oleh itu tidak akan timbul isu jarak operasi pendek yang dihadapi dron kargo berkuasa bateri.
Modul kargo M4 yang digunakan oleh Tentera Amerika Syarikat boleh dipasang di bahagian bawah ARES. Ia boleh diubahsuai untuk membawa kelengkapan, senjata, makanan dan juga anggota tentera yang tercedera.

DARPA meletakkan sasaran ARES boleh membawa sehingga 1360 kilogram kargo, terbang seperti sebuah pesawat ringan, mempunyai rekaan kompak bagi memudahkan ia dibawa ke medan perang, kemampuan swaterbang dan boleh melakukan misi walaupun dari kawasan lapang yang tidak tersedia.
Pendekatan Amerika Syarikat berbeza dengan pendekatan China yang tahun ini berjaya melakukan ujian dron kargo swapandu mereka sendiri. Dron yang dibina oleh Sichuan Tengden Sci-tech Innovation Co adalah dalam bentuk kapal terbang biasa dengan kapasiti membawa 2 tan kargo. Ia direka untuk membawa bekalan kepada pos tentera yang dibina di Laut China Selatan.