Ulasan BMW CE 02 – Ekapcai Bangsawan Yang Sangat Lincah
Ikhwan Nazri
Pada bulan Mei yang lalu BMW Motorrad Malaysia telah memperkenalkan BMW CE 02 untuk pasaran tempatan. Motor elektrik ini tampak berlainan dengan kebanyakan motor elektrik di pasaran tempatan kerana rekaannya bagaikan kapcai, tidak seperti abangnya CE 04 dan motor elektrik jenama lain yang direka bagaikan skuter. Malah BMW Motorrad sendiri melabelnya sebagai e-Parkourer.
| BMW Motorrad CE 02 (Highline Package) | |
|---|---|
| Mod Pemanduan | Flow, Surf, Flash |
| Jarak Perjalanan (WMTC) | 90km |
| Pecutan | 0-50 km/j – 3 saat |
| Kelajuan maksimum | 95 km/j (dihadkan) |
| Kapasiti Bateri | 8.9 kWh |
| Kelajuan Pengecasan 10A / 230V / 2.3kW | 0-100%: 3 jam 30 minit |
| Berat | 120 kg |
| Saiz Skrin | 3.5-inci + Boleh Ditambat dengan aplikasi BMW Motorrad Connected |
| Saiz Tayar | Depan: 120/80 R14 Belakang: 150/70 R15 |
| Kuasa Maksimum | 15HP (11 kW) |
| Tork Maksimum | 62 Nm @ 1500 |
| Fungsi Lain | ABS Di Hadapan, Cagak SP Connect, USB-C |
| Harga Jualan | RM 38,500 |
Rekaan & Spesifikasi e-Parkourer
Istilah Parkour merupakan kata nama dari Bahasa Perancis bermaksud aktiviti atau sukan yang memerlukan pergerakan lincah di kawasan urban. Pergerakan ini boleh merangkumi larian, lompatan atau memanjat dengan sangat pantas. Jika anda berusia 30-an, anda mungkin pernah mengetahui satu filem mengenai ‘Parkour’ iaitu Yamakasi dimana kelincahan penggiat Parkour dalam bergerak antara bangunan mahupun halangan.
Istilah ini dibawakan BMW Motorrad untuk kapcai elektrik BMW CE 02 kerana ia merupakan satu-satunya motor dari BMW yang bersaiz kecil dan tidak memerlukan lesen B Penuh. Selain CE 02, kesemua motosikal BMW Motorrad boleh dikelaskan sebagai motor atau skuter besar memerlukan lesen B Penuh kerana mempunyai kapasiti enjin melebihi 250cc. Dengan rekaan BMW CE 02 yang kecil seberat 120kg, ia memberikan kelincahan kepada kapcai elektrik ini dan saya tidak menghadapi masalah besar untuk mencelah di antara kenderaan sewaktu kesesakan lalu lintas.

Pada saiznya juga, ia boleh dikatakan yang BMW CE 02 ini sekumpulan dengan motor kecil yang lain seperti Kawasaki Z 125, CFMoto Papio, Honda Grom atau Benelli TNT 135. Dengan tempat duduk yang rendah dan kecil, ia mungkin sesuai untuk tunggangan seorang, atau penumpang akan bersempit di belakang dan masih terdapat pemijak kaki untuk penumpang belakang.

Untuk pasaran Malaysia, BMW CE 02 ditawarkan dalam pakej Highline yang memberikan warna tempat duduk berbeza, suspensi hadapan yang disadur warna emas, dan juga cagak pemegang telefon pintar yang membolehkan telefon pintar ditambat kepada sistem BMW Motorrad Connected dan menjadi paparan sekunder yang memberikan lebih maklumat yang tidak boleh dipaparkan pada paparan utama yang kecil. Paparan sekunder ini boleh memaparkan kadar tekanan tayar, odometer, dan penggunaan tenaga serta peta navigasi.


Dari sudut spesifikasi, BMW CE 02 mempunyai 2 bateri berkapasiti 1.96 kWh dengan setiap satunya boleh memberikan jarak perjalanan sekitar 90km. Motor elektriknya yang memberikan kuasa 15hp boleh memecut sepantas 0-50 km/j dalam masa 3 saat dengan kelajuan maksimum 95 km/j. Pengecasan 0-100% pula akan mengambil masa selama 3.5 jam.
Satu perkara yang menarik adalah baterinya boleh ditanggalkan namun setiap satu baterinya agak berat, dan tidak seringan bateri motor elektrik yang lain seperti Blueshark. Memandangkan pejabat dan rumah saya tidak mempunyai kemudahan mengecas, saya menggunakan troli untuk membawa kedua-dua bateri ini ke tingkat atas bagi mengecas.


Pengecas palam 3-pin yang disertakan pula boleh dikatakan sedikit besar dan lebih berat dari pengecas Type 2 yang biasanya digunakan untuk EV dan juga PHEV. BMW CE 02 menggunakan kepala pengecasan yang berlainan dari Type 2, dan ini membuatkan anda perlu mengusung pengecas ke mana sahaja kerana ketiadaan pengecasan yang sesuai. Dan memandangkan tidak terdapat sebarang ruang storan pada BMW CE 02, anda mungkin perlu memasang kotak storan tambahan atau beg sisi pada kapcai elektrik ini.

Pengalaman tunggangan pertama
Saya telah mencuba kapcai elektrik ini sewaktu acara Malaysia Autoshow 2024 dan untuk tujuan artikel ini, saya telah meminjam selama beberapa hari. Sewaktu mengambilnya dari Cyberjaya, bateri 100% mempunyai jarak perjalanan sekitar 60KM, yang sekaligus membuatkan saya risau kerana akan membawanya ke Kuala Lumpur, dan jarak antaranya adalah 35km. Saya sampai ke pejabat dengan bateri berbaki 48% dengan jarak perjalanan masih berbaki sekitar 51km yang mana mungkin jarak asal 61KM disebabkan pengguna / pengulas sebelum saya menggunakan motor itu dengan tidak efisien.


Untuk tunggangan menerusi MEX, saya tidaklah memecut pantas kerana ingin menjimatkan bateri, dan kelajuan dicapai sekitar 80-90 km/j boleh dikatakan satu kelajuan yang biasa, namun menarik minat pengguna jalan raya yang lain yang akan mengaleh pandangan. Akan tetapi sewaktu rakaman di AKLEH, saya dapat mencapai kelajuan 100 km/j mungkin kerana ketiadaan beg sandang dan juga pengecas yang diberikan bersama.

Membawa kapcai elektrik ini di bandar sangat menyerlahkan kelincahannya. Untuk saya yang biasa membawa CE 04 sebagai tunggangan harian, skuter tersebut adalah sangat berat dan besar, dan mengawal CE 02 untuk mencelah trafik adalah tersangat mudah. Ini ditambah lagi dengan badan yang tidak panjang, dan mempunyai sudut membelok yang tajam memudahkan anda sampai ke baris hadapan lampu isyarat tanpa tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

Kemudian dengan berkat pecutan elektrik, saya dapat ‘lari’ dari motor lain dengan pantas, namun ia hanyalah untuk beberapa ketika sebelum motor lain memintas. Pembrekan janaan semula dapat menjimatkan penggunaan tenaga namun bergantung kepada corak tunggangan anda serta mod tunggangan yang dipilih.
Terdapat tiga mod tunggangan iaitu Flow untuk mod tunggangan biasa, Surf ialah mod tunggangan yang berkuasa, tanpa pembrekan janaan semula, dan Flash untuk pecutan lebih pantas, serta pembrekan janaan semula yang kuat. Mod Flash hanya tersedia untuk pakej Highline dan kesemua CE 02 di Malaysia hadir bersama dengannya.

Untuk saya sendiri, saya banyak menggunakan Flash walaupun saya sedar yang ia boleh membuatkan bateri lebih cepat habis. Kelincahan yang ditawarkan Flash pada CE 02 boleh dikatakan sedikit menghampiri CE 04. Untuk mod Flow, saya gunakannya sewaktu perjalanan jauh menggunakan MEX bagi menjimatkan bateri.

Dalam beberapa hari menggunakan BMW CE 02 ini, ditambah dengan pengalaman sewaktu mencuba di Malaysia Autoshow dan juga membawanya di litar go-kart elektrik, saya boleh simpulkan yang BMW CE 02 memberikan pengalaman yang menyeronokkan namun mungkin memerlukan kos yang tinggi bagi memilikinya. Ini kerana pada harga RM38,500 ia meletakkannya sangatlah jauh berbeza berbanding motor elektrik yang lain yang ditawarkan pada harga kurang dari RM15,000.

Antara perkara yang menjadi kekurangan besar untuk saya adalah ketiadaan ruangan storan. Ini mungkin boleh diselesaikan dengan menambah kotak storan di bahagian belakang, namun memandangkan CE 02 mempunyai palamnya yang tersendiri, dan tidak dapat menggunakan palam pengecasan CCS Type 2, iaitu palam pengecasan yang popular untuk kereta elektrik, mungkin pengguna perlu mengusung pengecas kemana-mana sahaja untuk sentiasa mempunyai bateri. Namun ini tidak akan menjadi masalah sekiranya kegunaan CE 02 ini hanya terhad untuk jarak dekat.

Saya juga berharap sekiranya ia menggunakan palam CCS Type 2 namun ini mungkin perkara yang tidak sesuai dengan kapasiti bateri yang kecil. Penggunaan palam yang sama dengan kereta elektrik dapat menambah jarak perjalanan motor ini. Dalam gambar pada ulasan ini ialah BMW CE 02 yang hadir dengan aksesori tambahan yang dijual berasingan seperti pemijak kaki eksklusif, panel hadapan dan juga kotak storan.

Akan tetapi sekiranya anda hanya memiliki lesen memandu B2, dan ingin memiliki kenderaan elektrik dari BMW, motosikal ini dapat memberikan keseronokan dan juga kelincahan untuk kegunaan harian dan untuk jarak yang dekat.
