Awal bulan Ogos yang lalu kami di Amanz pernah melaporkan tentang WhatsApp yang sedang menguji ciri interaksi suara dengan Meta AI. Walaupun ciri tersebut juga masih lagi dalam proses pembangunan, WhatsApp kini dilaporkan sedang memperhalusi lagi ciri berkenaan dengan ia akan memiliki keupayaan untuk membolehkan pengguna memilih suara untuk Meta AI tersebut. Lebih menarik lagi, ciri pilihan suara Meta AI ini juga dikatakan adalah berdasarkan suara selebriti terkemuka.
Meskipun ciri ini masih dalam pembangunan, ia dijangka akan tersedia kepada pengguna WhatsApp dalam masa terdekat. Apabila ciri ini dapat digunakan kelak, pengguna akan dibolehkan untuk memilih jenis suara selebriti yang dimahukan termasuklah suara lelaki atau perempuan dan mengikut loghat British atau Amerika.
Siapakah selebriti-selebriti ini masih lagi misteri tetapi sebelum ini kami telah laporkan Meta membayar jutaan Dolar kepada Judi Dench, Awkwafina dan Keegan-Michael Key untuk menggunakan suara mereka dalam rangkaian alatan AI yang sedang dibangunkan.