19 Angkasawan Kini Di Angkasa Lepas Adalah Rekod Dunia Baharu
Effi Saharudin
Pada tahun 1961, kosmonot Yuri Gagarin menjadi manusia pertama berjaya ke angkasa lepas. Ini memulakan perang angkasa lepas antara USSR dan Amerika Syarikat yang secara tidak langsung memacu pembangunan teknologi komputer, roket, sains, aeroangkasa dan semikonduktor. Semalam rekod dunia baharu jumlah angkasawan mengelilingi bumi serentak dicatatkan selepas tiga lagi angkasawan dihantar ke ISS menggunakan kapal angkasa Soyuz.
Pada ketika ini terdapat 19 angkasawan mengorbit bumi serentak sekaligus memintas rekod 17 angkasawan serentak yang dicatatkan tahun lalu. Don Pettit, Alexey Ovchinin dan Ivan Vagner kini dalam perjalanan ke ISS menggunakan kapal angkasa Soyuz.

Sembilan lagi angkasawan – Michael Barratt, Tracy Caldwell-Dyson, Matthew Dominick, Jeanette Epps, Barry Wilmore, Suni Williams, Nikolai Chub, Alexander Grebenkin dan Oleg Kononenko – pula kini berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Barry Wilmore dan Suni Williams sepatutnya pulang ke bumi tiga bulan lalu tetapi masalah kapal angkasa Starliner memaksa misi mereka dilanjutkan sehingga Februari tahun depan.
Sementara itu tiga taikonaut China – Li Cong, Li Guangsu dan Ye Guangfu kini berada di Stesen Angkasa Tiangong. Akhir sekali empat angkawan SpaceX – Jared Isaacman, Scott Poteet, Sarah Gillis dan Anna Menon kini berada dalam kapal angkasa Crew Dragon bagi menjalani misi Polaris Dawn. Polaris Dawn ingin menjadi misi swasta pertama melakukan aktiviti di luar kapal angkasa (EVA).
[sumber] Space.com [/sumber]