Carian
AMD / Asus
AMD Dan ASUS Memperlihatkan Kemampuan AI Dalam Mempercepatkan Proses Kreatif Secara Beretika
September 17, 2024 Nazrin

Apabila bercakap mengenai kecerdasan buatan dalam konteks proses kreatif, ramai yang akan menunjuk kepada penggunaan AI generatif untuk “mencipta” kandungan yang tidak memerlukan sebarang input daripada mana-mana individu dengan menggunakan teknologi seperti Stable Diffusion, Dall-E sebagainya.

AMD bersama-sama dengan ASUS baru-baru ini telah berganding bahu untuk menunjukkan bahawa kecerdasan buatan boleh dimanfaatkan untuk mempercepatkan proses kreatif artis-artis tanpa perlu menggunakan teknologi generatif.

Untuk ini, kedua-dua syarikat tersebut bekerjasama dengan artis Singapura, Ihasamic dengan memberi beliau sebuah komputer riba ASUS ProArt P16 yang dikuasakan cip pemprosesan AMD Ryzen AI 9 HX 370 untuk mencipta sebuah video muzik baru dalam masa seminggu sahaja.

Kami telah ditunjukkan proses yang digunakan oleh Ihasamic!, dan dengan menggunakan satu komputer riba AMD ProArt P16 tersebut sahaja, beliau dan kru beliau melakukan proses storyboarding, penyimpanan rakaman suntingan video dan penyimpanan rakaman dari kamera ke storan tanpa masalah.

Beliau menggunakan perisian suntingan video DaVinci Resolve untuk proses suntingan, dan disini kita juga telah diberitahu bahawa untuk beberapa proses seperti rotoscoping telah menggunakan teknologi AI terbina untuk mempercepatkan proses penambahan latar digital.

Jika anda tidak biasa dengan proses rotoscoping ini, secara ringkasnya ia adalah proses membuang bahagian latar sesebuah video untuk mendapatkan bahagian subjek utama sahaja. Ia merupakan sebuah proses yang secara lazimnya memakan masa yang sangat lama kerana setiap bingkai video perlu disunting untuk membuang bahagian latar ini.

Dengan kebolehan AI, Ihasamic! hanya perlu melakar pada subjek yang mahu disunting, dan proses tersebut, yang kebiasaannya akan memakan tempoh beberapa hari untuk dilakukan, bergantung kepada panjang adegan tersebut boleh dilakukan dalam masa beberapa minit sahaja.

Dalam pada itu, proses seperti mencerahkan ataupun menggelapkan adegan juga boleh dilakukan dengan teknologi AI, dan kemudiannya boleh disunting secara tambahan untuk mendapatkan adegan yang diingini.

Satu lagi proses renyah yang dapat dipercepatkan menggunakan teknologi AI ialah pembuatan sarikata. Satu proses yang biasanya akan memakan masa beberapa jam apabila dilakukan secara manual boleh dilakukan dalam masa beberapa saat sahaja, mempercepatkan lagi proses pembuatan muzik video tersebut.

Apa yang lebih menarik lagi ialah sepanjang proses ideasi, penggambaran dan penyuntingan video tersebut yang membabitkan lebih daripada beberapa individu, kesemuanya dilakukan dengan satu komputer riba sahaja yang dikongsi dengan semua orang.

Video suntingan ringkas diperlihatkan oleh Ihasamic! sewaktu acara AI Create Creator Renaissance di Singapura baru-baru ini, yang juga memperlihatkan efek digital 3D bersama-sama dengan suntingan yang menarik. Walaubagaimanapun, mereka berkata bahawa video ini masih lagi memerlukan beberapa penambahan sebelum ia boleh dimuat-naik ke laman YouTube.

Mu, individu disebalik hasamic! berkata bahawa ia benar bahawa penggunaan teknologi kecerdasan buatan kebelakangan ini banyak berkisarkan AI generatif, tetapi ia tidak bermakna bahawa semua teknologi AI bersifat parasitik kepada tenaga kerja kreatif.

“Ia tidak salah untuk mengatakan bahawa penggunaan AI generatif kini menyebabkan ramai profesional kreatif kehilangan mata pencarian, tetapi bergantung kepada teknologi yang digunakan, beberapa teknologi AI dapat membantu kita dalam melakukan beberapa tugasan renyah dalam masa yang singkat. Apa yang penting ialah kita faham etika dan kompas moral sendiri apabila menggunakan teknologi AI” ujarnya apabila ditanya mengenai penggunaan teknologi AI yang kini semakin menyebabkan ramai profesional kreatif yang terkesan dengan teknologi baru ini.

Acara ini dilihat sebagai salah satu fokus AMD dan ASUS dalam mengurangkan stigma tehadap AI didalam industri kreatif dengan cara yang tidak mengagungkan teknologi AI generatif, tetapi sebaliknya teknologi AI yang membantu untuk memudahkan tugasan dan proses yang boleh dilakukan dengan cepat dan mudah.

ASUS ProArt PX13 dan ProArt P16 sudahpun mula ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM9999 dan RM12,999.

Komen