Carian
Netflix Menamatkan Sokongan Aplikasi Untuk iOS 16
September 13, 2024 Fahim Zahar

Adakah anda pengguna iPhone X atau masih setia dengan iPhone 8? Jika ya, ini bermakna anda masih menjalankan iOS 16 dan secara perlahan anda sudah boleh bersiap sedia untuk menukar ke iPhone 16 yang lebih baharu kerana semakin banyak aplikasi akan dihentikan sokongannya, lagi-lagi jika anda kerap menonton video di Netflix.

iPhone X, 2017 – Amanz

Terbaru, Netflix telah menghentikan sokongan aplikasi untuk platform iOS 16 dan juga iPadOS 16. Lima peranti yang terkesan adalah iPhone 8, iPhone 8 Plus, iPhone X, iPad Pro generasi pertama dan iPad generasi kelima yang tidak lagi akan menerima kemas kini baharu aplikasi Netflix. Buat masa ini, aplikasi sedia ada masih boleh digunakan – cuma tiada lagi versi baharu boleh dimuat turun.

Jika anda ada masalah memuat turun Netflix di App Store, platform penstriman ini masih boleh diakses melalui pelayar web seperti Safari kerana sokongan DRM masih tidak dihentikan. Kami sarankan untuk anda terus tukar ke iPhone 16 kerana ia lebih murah berbanding tahun lepas, lebih canggih dan lebih selamat.

Komen