Baru dua tahun Xiaomi bekerjasama dengan Leica, penawarannya sudah berkembang dengan ia tidak lagi terhad kepada peranti mercu. Tahun lepas bermulanya siri Xiaomi 13T iaitu telefon mercu mampu milik yang turut mempunyai kamera Leica dan terbaru yang sudah tiba di makmal Amanz adalah Xiaomi 14T Pro. Kali ini Xiaomi membawa kemampuan Xiaomi 14 Ultra dalam pakej mampu milik. Adakah ianya berbaloi dan patut untuk anda beli? Artikel ini akan menjawab persoalan anda.
SPESIFIKASI
Skrin | 6.67″ CrystalRes AMOLED, 2712 x 1220 (446PPI) 144Hz, 4000 nits, Dolby Vision |
Cip | MediaTek Dimensity 9300+ (4nm) |
CPU | 1x Cortex-X4 3.4GHz 3x Cortex-X4 2.85GHz 4x Cortex-A720 2.0GHz |
GPU | Immortalis-G720 MC12 |
Memori | 12GB RAM, LPDDR5X |
Storan | 512/1000 GB, UFS 4.0 |
Kamera Belakang | LEICA VARIO-SUMMILUX Sudut Lebar, Light Fusion 900 50MP, ƒ/1.6 Leica Telefoto 50MP, ƒ/2.0 Leica Sudut Ulttra-Lebar 12MP, ƒ/2.2 Authentic Leica Imagery, Xiaomi AISP Master-Lens |
Kamera Hadapan | 32MP f/2.0 |
Audio | Speaker stereo |
Biometri | Pengimbas cap jari bawah skrin |
Perlindungan | IP68 |
Bateri | 5000mAh 120W (wayar) 50W (nirwayar) |
Harga | RM 2,599 (12/256 GB) RM 2,999 (12/512 GB) RM 3,499 (12/1000 GB) |
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Xiaomi 14T Pro adalah salah satu peranti di bawah siri 14T. 14T Pro ini juga bukan sekadar peranti mercu mampu milik biasa kerana ia dimuatkan dengan pelbagai teknologi canggih. Antaranya adalah lensa Leica VARIO-SUMMILUX, algoritma Xiaomi AISP dengan FusionLM, ColorLM, ToneLM serta PortraitLM untuk UltraHDR dan Master Portrait. Kemudian ia turut mempunyai cip Xiaomi Surge T1 Tuner, cip Surge P2 dan juga Surge G1 untuk pengecasan.
REKAAN
Xiaomi konsisten dalam membawakan ciri mercu premium kepada peranti mercu mampu milik. Misalnua rekaan skrin dengan bezel nipis, panel OLED yang berkualiti, dilengkapi dengan perlindungan IP68, dan juga pilihan warna Titan Gray, Titan Blue, atau Titan Black seakan pilihan warna iPhone 16 Pro.
Xiaomi turut menegaskan yang rekaan 14T Pro ini adalah tersendiri dan peranti ini sendiri bukan peranti Poco atau Redmi sedia ada.
Setiap butang direka dengan baik, tubuh aluminium yang digunakan juga 116% lebih tahan lasak berbanding 13T Pro, dan kemasan peranti juga terasa seperti memegang seakan peranti yang mahal.
Butang kuasa turut ada tekstur dengan cengkaman tambahan untuk ia mudah dicari serta lebih selesa dipegang. Walaupun begitu, di mata saya Xiaomi 14T Pro ini masih kelihatan seakan telefon pintar kelas pertengahan premium yang klise dan tidak unik.
SKRIN
Skrin peranti juga sangat cantik dan memuaskan. Saya menerima pengalaman penggunaan seakan peranti RM6000 pada harga RM3000. Skrin beresolusi 2712 x 1220 dengan kadar segar semula 144Hz dan kecerahan boleh mencapai sehingga 4000 nits. Ia turut kekal menawarkan sokongan HDR10+ dan Dolby Vision.
Sepanjang penggunaan saya, saya telah menonton pelbagai video baik filem digital yang saya sewa, filem di platform penstriman, bermain permainan video, mengambil gambar dan menyunting gambar – skrin Xiaomi 14T Pro adalah pantas dan antara yang terbaik di pasaran untuk kelasnya.
HYPEROS & DIMENSITY 9300+
Cip MediaTek Dimensity 9300+ yang digunakan pada peranti ini adalah cip yang dibangunkan bersama-sama dengan Xiaomi. Ia direka khusus untuk HyperOS serba baharu berjalan lancar dengan pelbagai ciri AI generatif, tidak kira versi tersendiri atau dengan Google Gemini. HyperOS pada peranti ini masih lagi berasaskan Android 14 dengan sokongan paparan iklan yang dapat rasa semakin berkurangan tetapi Xiaomi bijak mencari jalan bagaimana untuk memaksa iklan ini muncul.
HyperOS yang tersedia pada peranti ini masih lebih kurang sama dengan Xiaomi 14, Xiaomi 14 Ultra dan juga penggunaan Xiaomi 13T. Ia adalah lebih baik berbanding zaman MIUI, ia lebih lancar, lebih pantas dan lebih selesa untuk digunakan. Tidak lupa juga prestasi yang konsisten dan setakat hampir sebulan penggunaan saya langsung tidak mengalami sebarang masalah lengah masa.
Markah penanda aras di atas membuktikan yang Xiaomi 14T Pro ini adalah peranti mercu mampu milik yang berkemampuan. Walaupun markah itu hanyalah nombor semata-mata, sekurang-kurangnya penggunaan saya setanding dengannya kerana tinggi dan memuaskan. Begitu juga setiap permua tidak kira COD Mobile yang berat atau Marvel Snap yang ringan, saya boleh khusyuk sehingga lupa akan tanggungjawab dunia.
AI GENERATIF
Amat mengecewakan yang siri Xiaomi 14T ini dipasarkan sebagai peranti kamera Leica dengan ciri AI generatif tetapi penggunaannya banyak yang terhad. Apa yang anda pernah lihat pada Xiaomi 14 dan kemas kini pada Xiaomi 13T, semuanya sama sahaja pada Xiaomi 14T. Walaupun saya menggunakan 14T Pro tiada satu pun ciri tambahan yang Pro. Circle to Search masih tidak boleh digunakan kerana ia hanya akan tiba pada 6 Oktober akan datang. Hanya AI Intepreter sahaja yang baru dan ciri lain seperti AI rakaman suara atau aplikasi nota AI masih tidak kelihatan.
KAMERA
Semasa saya menerima Xiaomi 14T Pro untuk diuji, saya sedang menggunakan Pixel 9 Pro XL dan Samsung Galaxy Z Flip6. Selepas saya membuka kamera, melakukan tetapan yang sepatutnya – saya terus simpan Pixel dan Galaxy ke dalam beg dan hanya menggunakan Xiaomi 14T Pro sebagai kamera utama saya ketika berada di luar negara. Hasil kameranya yang sangat cantik, terang, warna yang seimbang dengan sokongan Ultra HDR, serta setiap imej mempunyai butiran yang dipelihara dengan baik.
Tidak kira lensa mana saya gunakan, mod Leica mana atau di mana saya berada – setiap imej apabila saya lihat hati ini terus tenang dan berasa lega. Masalah utama yang saya hadapi hanyalah kemampuan mengambil gambar di waktu malam yang saya rasakan ia masih cuba meniru 14 Ultra tetapi tidak menjadi.
VIDEO
Hasil rakaman video pada Xiaomi 14T Pro juga semakin menarik dan baik. Saya cuba merakam satu vlog menggunakan kamera swafoto dan kamera utama, ia memaparkan warna dan butiran yang memuaskan. Jarang saya dapatkan kualiti video vlog dengan peranti Xiaomi seperti ini. Anda nilai sendiri dengan video di bawah;
AUDIO
Dolby Atmos + stereo speaker pada telefon pintar adalah gandingan baik kerana audio akan menjadi lantang dan kebiasaannya seimbang. Xiaomi 14T Pro tidak mengecewakan dengan memberi audio yang menghampiri tahap mercu tetapi pada harga mampu. Ia sedap, seronok dan selesa untuk didengar sepanjang hari.
BATERI
14T Pro ini bukan sahaja dilengkapi dengan bateri 5000mAh, pengecasan pantas 120W HyperCharge dan pengecasan nirwayar pantas 50W. Di dalam peranti turut mempunyai cip Xiaomi Surge P1 dan Surge C1 untuk memastikan kesihatan bateri dan cip terjamin serta mengawal proses pengecasan – termasuk dengan suhu peranti.
Ketahanan bateri yang saya terima untuk penggunaan ringan adalah mencapai lebih 10 jam satu hari, sementara penggunaan berat adalah sekitar 7 jam. Pengecas 120W yang tidak lagi disediakan boleh mengecas peranti dari 0% ke 100% dalam masa kurang 30 minit.
PERBANDINGAN
Xiaomi 14T Pro – Leica | vivo V40 Pro – Zeiss | realme 13 Pro+ – HYPERIMAGE+ |
6.67″ CrystalRes AMOLED, 2712 x 1220, 144Hz, Dolby Vision, 4000 nits, Bukan LTPO | 6.78″ AMOLED, 2800 × 1260, 120Hz, 4500 nits, Bukan LTPO | 6.7″ OLED, 2412 x 1080, 120Hz, 2000 nits, Bukan LTPO |
Dimensity 9300+ (4nm) CPU 1x Cortex-X4 3.4GHz 3x Cortex-X4 2.85GHz 4x Cortex-A720 2.0GHz GPU Immortalis-G720 MC12 | Dimensity 9200+ (4nm) CPU 1x 3.35 GHz Cortex-X3 3x 3.0 GHz Cortex-A715 4x 2.0 GHz Cortex-A510 GPU Immortalis-G715 MC1 | Snapdragon 7s Gen 2 (4nm) 4x 2.40 GHz Cortex-A78 4x 1.95 GHz Cortex-A55 GPU Adreno 710 |
12GB LPDDR5X 512/1000 GB UFS 4.0 | 8/12 GB LPDDR5X 256/512 GB UFS 3.1 | 8-12 GB LPDDR4X + Sehingga 12GB Maya |
Kamera Utama Leica 50MP, ƒ/1.6, OIS Leica Telefoto 50MP, ƒ/2.0 Leica Sudut Ulttra-Lebar 12MP, ƒ/2.2 Kamera Swafoto 32MP, ƒ/2.0 | Kamera Utama ZEISS 50MP, ƒ/1.88, OIS Zeiss Sudut Ultra-Lebar 50MP, ƒ/2.0 Zeiss Potret Telefoto 50MP, ƒ/1.85, zum optikal 2x Kamera Swafoto 32MP, ƒ/2.0 | Kamera Utama HYPERIMAGE+ 50MP, f/2.65, OIS HYPERIMAGE+ Telefoto 50MP, f/1.88, OIS HYPERIMAGE+Sudut Ultra-Lebar 8MP, f/2.2 Kamera Swafoto 32MP, f/2.45 |
IP68 | IP68/IP69 | Tiada |
Audio Stereo Dolby Atmos | Audio Stereo | Audio Stereo |
5000 mAh 120W, Wayar 50W, Nirwayar | 5000 mAh, Bateri BlueVolt 80W, Wayar | 5200 mAh 80W, Wayar |
RM 2,999 (12/512 GB) RM 3,499 (12/1000 GB) | RM3,299 (12/512GB) | RM2,299 (12/512 GB) |
APA ADA DALAM KOTAK?
- 1x Xiaomi 14T Pro.
- 1x Pengecas 120W HyperCharge (berkas percuma, tiada dalam kotak).
- 1x Kabel USB-A ke USB-C.
- 1x Kerangka pelindung silikon hitam.
- 1x Pin SIM.
- 1x Set buku panduan dan keselamatan.
PATUT BELI ATAU LANGKAU?
Sejak Xiaomi 12s Ultra, saya telah yakin yang fotografi telefon pintar terbaik yang mampu milik perlu diberikan kepada Xiaomi dan Leica. Kemampuan kamera yang luar biasa, kebolehan merakam video yang semakin baik, serta ciri dan fungsi mercu pada harga mampu milik – Xiaomi 14T Pro terbaru adalah alternatif telefon mercu fotografi terbaik jika anda tidak mampu membeli 14 Ultra.
Jika anda adalah pengguna peranti kelas pertengahan premium sejak dua tahun lepas atau peranti mercu sejak tiga tahun lepas – anda wajib beli Xiaomi 14T Pro sebagai telefon utama anda. Xiaomi menawarkan pakej paling lengkap dengan cip mercu Dimensity 9300+, kamera Leica dengan lensa Summilux baharu yang dipadankan dengan Xiaomi AISP serta sistem pengecasan pantas dengan bateri tahan lama – pada harga permulaan RM3,099 anda pasti tidak akan menyesal.
KELEBIHAN
- Skrin yang sangat menawan.
- Kamera mercu pada harga mampu.
- Prestasi yang pantas dan lancar sepanjang masa.
- Bateri tahan lama dengan pengecasan super pantas.
- Harga kamera Leica paling mampu milik.
KEKURANGAN
- Kemampuan kamera waktu malam tidak konsisten.
- Rekaan tidak begitu menarik.
- HyperOS masih ada iklan.
- Banyak ciri baharu hanya janji kemas kini masa hadapan.