Ulasan Xiaomi 14 – Imej Legenda Dengan Lensa Leica
Fahim Zahar
Biasanya di makmal Amanz, peranti mercu akan mengambil masa 2-3 minggu untuk diuji sebelum ulasan dikeluarkan. Tetapi untuk Xiaomi 14, ia berbeza sedikit kali ini kerana saya telah menggunakan peranti ini untuk satu bulan. Xiaomi Malaysia memberi kami akses lebih awal untuk diuji bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Barcelona. Dalam ujian saya, peranti ini mempunyai kemampuan kamera lebih baik berbanding Xiaomi 13 dan berpotensi menjadi peranti mercu kompak paling hebat tahun ini.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
| Skrin | 6.36″ AMOLED, 2670 x 1200 piksel, LTPO + AdaptiveSync Pro 1-120Hz, Panel tersuai Xiaomi C8 3000-nit, Pro HDR, Dolby Vision |
| Pemproses | Snapdragon 8 Gen 3 (4nm) |
| Cip | 1x 3.3 GHz Cortex-X4 3x 3.2 GHz Cortex-A720 2x 3.0 GHz Cortex-A720 2x 2.3 GHz Cortex-A520 |
| Cip Grafik | Adreno 750 |
| RAM | 12 GB LPDDR5X |
| Muatan Dalaman | 256/512 GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama | 50MP f/1.6, Light Fusion 900, OIS (Sudut Lebar) 50/32 MP, f/2.0 (Telefoto) 50MP, f/2.2, Makro 10sm (Sudut Ultra Lebar) LEICA VARIO-SUMMILUX Leica Authentic & Leica Vibrant, Master-lens system Xiaomi ProFocus, Portrait Night, video 8K, Dolby Vision 4K60fps, Ultra Night Video |
| Kamera Depan | 32MP, f/2.0, HDR |
| Bateri | 4610mAh 90W HyperCharge berwayar 50W HyperCharge nirwayar |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G |
| Audio | Stereo, Dolby Atmos |
| WiFi, NFC, Bluetooth | WiFi 7, Ya, 5.4 |
| Infra Merah | Ya, pada bonggol kamera |
| Kalis Air | IP68 |
| Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin |
| Harga Jualan | RM 3,499 (12/256 GB) RM 3,799 (12/512 GB) |

Xiaomi 13 adalah peranti mercu kompak kegemaran saya. Malah saya masih menggunakan peranti ini sehingga Xiaomi 14 sampai ke tangan. Peranti mercu kompak generasi baharu Xiaomi ini sekali lagi berjaya memikat hati saya kerana rekaan yang kecil molek tetapi premium di dalam tangan dan cukup berkuasa untuk bersaing dengan pesaing yang lebih mahal. Ia direka untuk nampak cantik dan ringkas kerana ingin menjadi ikon legenda Leica.

Skrin peranti adalah jenis rata, bezel yang nipis dan hampir sekata, panel AMOLED Xiaomi C8 rekaan sendiri dengan warna Dolby Vision, kecerahan 3000-nit serta menyokong LTPO 1-120 Hz. Rekaan peranti juga menarik kerana ia cukup ringkas dan elegan. Semua butang fizikal berada di sisi kanan, di atas juga tiada apa-apa sama dengan sisi kiri kerana Xiaomi meletakkan lubang mikrofon dan sensor infra merah pada bonggol kamera. Di bawah adalah kekisi speaker, port USB-C, satu lagi lubang mikrofon dan slot kad SIM.

Unit yang saya gunakan ini berwarna Jade Green, di mana ia menggunakan kemasan berkilat dan sangat licin. Memang cantik dan nampak seksi, tetapi ia tidak sesuai untuk saya yang telapak tangan mudah berpeluh. Peranti mudah menjadi kotor serta sukar dikendalikan. Ini menyebabkan saya terpaksa menggunakan kerangka pelindung dan tidak dapat menikmati rekaan cantik peranti ini.

SKRIN
Untuk sebuah peranti yang bersaiz kompak, Xiaomi 14 dilengkapi dengan skrin terbaik pernah saya gunakan. Warna yang sangat terang, butiran yang sangat jelas, kadar segar semula yang pantas dan kandungan video pada Netflix, Disney+ atau Prime Video memberikan pengalaman menonton yang mengasyikkan. Satu perkara yang saya tidak gemar adalah mod Sunlight untuk skrin digunakan di bawah cahaya matahari yang terik. Ia tidak boleh berfungsi secara automatik dan perlu ditetapkan secara manual.

BIOMETRI
Sistem biometri adalah baik sahaja. Bukan paling pantas, tetapi mampu mengesan empat jari berbeza tanpa sebarang masalah. Sejak ke belakangan ini, saya gemar menambah wajah saya sebagai alternatif menyahkunci peranti.
PENGGUNAAN – Xiaomi HyperOS, Android 14
Saya amat mengharapkan yang Xiaomi HyperOS pada Xiaomi 14 akan mempunyai pelbagai ciri AI yang diumumkan semasa sistem operasi ini dilancarkan di China tahun lepas. Sayang sekali ia masih tidak disertakan. Oleh yang demikian, menggunakan HyperOS pada peranti ini adalah lebih kurang sama dengan peranti HyperOS lain dan juga MIUI.

Walaupun begitu, HyperOS pada Xiaomi 14 seakan diberi sentuhan istimewa kerana penggunaannya adalah lebih menyeronokkan dan selesa berbanding pada Xiaomi 13, Xiaomi 13T atau Poco X6 Pro. Ia lebih lancar, pantas serta kurang menggunakan kuasa kerana peranti mampu bertahan sepanjang hari dalam penggunaan berat.

Berikut adalah ciri kegemaran saya sementara menantikan kemas kini HyperOS serba baharu;
- Kustomasi kunci skrin yang menarik.
- Ciri AI buang atau tukar belakang.
- Ciri AI Erase yang boleh buang bayang-bayang, objek asing, garisan mengganggu.
- Art Framing, alternatif kepada tera air pada gambar yang lebih kemas dan cantik.
- Kemampuan rakaman video yang lebih berkualiti.

Apa yang saya masih tidak boleh maafkan adalah, peranti mercu yang mungkin berharga hampir RM4000 masih mempunyai iklan. Kali ini saya sedari, iklan hanya terpapar dalam permua yang orientasinya menegak. Lain-lain sudah kurang seperti di dalam aplikasi Get Apps atau pada gedung tema sahaja. Saya juga masih tidak faham kenapa sesetengah peranti HyperOS boleh terus hadir dengan Google Photos terbina pada aplikasi album tetapi sesetengah tidak seperti Xiaomi 14 ini.
PRESTASI DAN PENANDA ARAS – HYPEROS, SNAPDRAGON 8 GEN 3
Jika anda menyangkakan yang Xiaomi 14 akan mempunyai prestasi sama seperti iQOO 12 atau RedMagic 9 Pro anda salah. Walaupun ketiga-tiga peranti ini menggunakan cip yang sama. Skor penanda aras Xiaomi 14 hanya sedikit lebih tinggi berbanding Samsung Galaxy S24+. Ujian penanda aras yang saya lakukan adalah dengan AnTuTu 3D v10, Geekbench 6 dan 3DMark.


Antutu 3D
- Xiaomi 14 – 1,773,520
- Honor Magic6 Pro – 1,366,519
- iQOO 12 – 2,075,821
- Samsung Galaxy S24 Ultra – 1,768,765
- ASUS ROG Phone 8 – 1,953,486
- RedMagic 9 Pro – 2,114,787
Geekbench 6
- Xiaomi 14 – 1741/6313
- Honor Magic6 Pro – 1362/4677
- iQOO 12 – 2181/6631
- Samsung Galaxy S24 Ultra – 2278/7016
- ASUS ROG Phone 8 – 3032/6373
- RedMagic 9 Pro – 2153/6775
3D Mark Wildlife Extreme
- Xiaomi 14 – 4499
- Honor Magic6 Pro – 2492
- iQOO 12 – N/A / 30.22 FPS
- Samsung Galaxy S24 Ultra – 4657
- ASUS ROG Phone 8 – 5236
- RedMagic 9 Pro – 5231
3D Mark Solar Bay
- Xiaomi 14 – 7722
- Honor Magic6 Pro – N/A
- iQOO 12 – 8528
- Samsung Galaxy S24 Ultra – 8564
- ASUS ROG Phone 8 – 8710
- RedMagic 9 Pro– 8704

Snapdragon 8 Gen 3 masih tidak menyokong beberapa permua dengan baik. Misalnya Marvel Snap pada iQOO 12 dan Xiaomi 14 kerap tertutup dengan sendiri. Tetapi perkara ini tidak berlaku pada Galaxy S24+. Teori saya adalah, pada Xiaomi HyperOS dengan Snapdragon 8 Gen 3 – perisian masih belum mengadaptasi cip pemprosesan yang lebih baharu. Kemas kini baharu mungkin akan menyelesaikan masalah ini. Kemudian ada satu perkara lagi yang saya tidak gemar dengan peranti ini adalah ia mudah memanas.
TELEFONI DAN GPS
Sepanjang penggunaan peranti ini, kualiti panggilan telefon adalah bagus sekali. Sokongan VoWiFi dan VoLTE tiada sebarang masalah. Sambungan data 5G dengan Maxis boleh dicapai baik di Malaysia atau Barcelona sama dengan WiFi. Sokongan GPS juga pantas dengan tiada masalah untuk saya bergantung sepenuhnya dengan peranti ini untuk berjalan kaki seorang diri di negara orang.
KAMERA
100% saya amat berpuas hati dengan kamera Xiaomi 14. Saya tidak pasti adakah kerana pencahayaan dan suasana di Barcelona atau kamera peranti ini benar-benar menakjubkan. Perkara paling jelas berubah adalah kualiti potret yang semakin kemas dan cantik. Gambar HDR dan makro yang tajam serta penuh butiran. Sudut ultra lebar dan zum dapat menghasilkan warna yang cantik. Kemudian mod malam yang membuatkan saya teringat kepada Night Sight peranti Pixel. Kekurangan yang saya sedar adalah kemampuan zum yang sederhana sahaja pada tahap 10x.














CONTOH RAKAMAN VIDEO
Siri Xiaomi 14 turut memfokuskan kepada rakaman video. Jika pada model ini sudah cantik, apatah lagi pada model Ultra?
AUDIO
Saya sedari, di dalam dunia ini tiada gajet yang 100% sempurna. Walaupun saya sudah jatuh cinta dengan Xiaomi 14, kekurangan peranti ini pada kualiti speaker membuatkan saya rasa kecewa. Ia sudah baik dan sedap tetapi tidak cukup kuat. Tidak kira Apple Music atau YouTube Music, mendengar muzik pada peranti ini tidak cukup memuaskan.
BATERI
Saya amat menyampah pengeluar peranti yang cuba menyembunyikan SOT peranti. Tidak kira pada MIUI atau HyperOS, Xiaomi 14 tidak boleh menyemak SOT sebenar dan saya perlu melakukan kiraan manual. Peranti ini tiada masalah untuk mencapai sekitar 6 jam SOT untuk penggunaan ringan dan sekitar 4-5 jam SOT untuk penggunaan berat.

Peranti ini menyokong pengecasan pantas berwayar 90W HyperCharge yang boleh mengecas 0% ke 100% sekitar 30 minit. Ia turut menyokong pengecasn PD 65W yang mengecas peranti 0% ke 100% dalam masa 45 minit. Jika anda berjaya membeli pengecas nirwayar pantas 50W dari China, ia boleh dicas cara begini kurang satu jam.
APA DALAM KOTAK?
Berikut adalah apa yang anda akan terima dengan setiap pembelian Xiaomi 14;
- 1x Xiaomi 14
- 1x Pengecas HyperCharge 90W
- 1x Kabel USB-A ke USB-C
- 1x Kerangka pelindung silikon hitam
- 1x Pin SIM
- 1x Set buku panduan dan manual

PERBANDINGAN
| Xiaomi 14 | Samsung Galaxy S24+ | iQOO 12 |
| 6.36″ LTPO AMOLED, 2670 x 1200, AdaptiveSync Pro 1-120Hz, Xiaomi C8, 3000-nit, Pro HDR, Dolby Vision | 6.7″ Dynamic LTPO AMOLED 2X, QHD+, 120Hz HDR10+, 2600 nits | 6.78″ AMOLED, 2800 x 1260, 144Hz, Netflix HDR10+ |
| Snapdragon 8 Gen 3 (4nm) 1x 3.3 GHz Cortex-X4 3x 3.2 GHz Cortex-A720 2x 3.0 GHz Cortex-A720 2x 2.3 GHz Cortex-A520 | Exynos 2400 (4nm) 1x 3.2GHz Cortex-X4 2x 2.9GHz Cortex-A720 3x 2.6GHz Cortex-A720 4x 1.95GHz Cortex-A520 | Snapdragon 8 Gen 3 (4nm) 1x 3.3 GHz Cortex-X4 5x 3.2 GHz Cortex-A720 2x 2.3 GHz Cortex-A520 |
| Adreno 750 | Xclipse 940 | Adreno 750 |
| 12 GB LPDDR5X | 12 GB LPDRR5X | 16 GB LPDDR5X |
| 256/512 GB UFS 4.0 | 256/512 GB UFS 4.0 | 512GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama 50MP f/1.6, Light Fusion 900, OIS (Sudut Lebar) 50/32 MP, f/2.0 (Telefoto) 50MP, f/2.2, Makro 10sm (Sudut Ultra Lebar) | Kamera Utama 50 MP, f/1.8, (Sudut Lebar), OIS 10 MP, f/2.4, (Telefoto), OIS, 3x Zum Optikal 12 MP, f/2.2, (Sudu Ultra Lebar) | Kamera Utama 50MP f/1.76 OIS (Sudut Lebar) 64MP f/2.6 OIS, 3x Zum Optikal (Periskop Telefoto) 50MP f/2.0 (Sudut Ultra Lebar) |
| Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.0 | Kamera Hadapan 12-Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.5 |
| IP68 | IP68 | IP64 |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 4610mAh (Berwayar 90W) | 4900 mAh (Berwayar 45W) | 5000 mAh (Berwayar 120W) |
| RM 3,499 (12/256 GB) RM 3,799 (12/512 GB) | RM4,899 (12/256 GB) RM5,399 (12/512 GB) | RM3,399 (16/512 GB) |
KESIMPULAN
Rekaan peranti yang cantik, skrin antara terbaik dalam pasaran, kamera memuaskan, prestasi mengejutkan dan bateri tahan lama – Xiaomi 14 menepati semua kriteria untuk sebuah peranti mercu yang hampir sempurna. Cuma HyperOS yang dibanggakan hanyalah janji kosong kerana banyak ciri AI masih tidak disertakan dan untuk peranti mercu masih ada iklan ketika bermain permua adalah perkara tidak boleh dimaafkan.

Peranti ini tidak dinafikan adalah cukup bagus untuk menjadi telefon Raya atau calon peranti mercu terbaik. Cuma, dalam tempoh 9 bulan lagi untuk tahun 2024 adakah akan ada peranti mercu kompak yang dapat menandingi Xiaomi 14? Terus ikuti Amanz untuk harga jualan di Malaysia 7 Mac nanti.
PRO
- Rekaan cantik, elegan, ringkas dan premium.
- Skrin antara terbaik di pasaran.
- Kamera mampu menghasilkan imej yang legenda.
- Prestasi yang pantas dan memuaskan.
- Kalis air IP68.
KONTRA
- Kemampuan zum agak mengecewakan.
- HyperOS lebih janji kosong.
- Iklan masih ada pada peranti mercu 2024?
- Speaker tidak cukup kuat.
