Carian
Ulasan Samsung Galaxy S24+ – Telefon Baik Dengan AI Cerdik
February 5, 2024 Fahim Zahar

Selepas berminggu menggunakan Samsung Galaxy S24+, saya setuju dengan kata Effi – yang Samsung Galaxy S24 Ultra adalah Pixel untuk pasaran global. Siri Galaxy S24 tahun ini tidak mementingkan spesifikasi dalaman tetapi menekankan perisian seperti mana yang Google lakukan pada Pixel selama ini. Menggunakan Galaxy S24+ sebagai peranti harian membuatkan saya teruja sebagaimana kali pertama menggunakan Google Pixel.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

Samsung Galaxy S24+
Skrin6.7″ Dynamic LTPO AMOLED 2X, QHD+, 120Hz
HDR10+, 2600 nits, Gorilla Glass Victus 2
PemprosesExynos 2400 (4nm)
Cip1x 3.2GHz Cortex-X4
2x 2.9GHz Cortex-A720
3x 2.6GHz Cortex-A720
4x 1.95GHz Cortex-A520
Cip GrafikXclipse 940
RAM12GB LPDDR5X
8GB Maya
Muatan Dalaman256/512 GB UFS 4.0
Kamera Utama50 MP, f/1.8, (Sudut Lebar), OIS
10 MP, f/2.4, (Telefoto), OIS, 3x Zum Optikal
12 MP, f/2.2, (Sudu Ultra Lebar)
Kamera Swafoto/Kamera Dalaman12 Megapixel f/2.2
Bateri4900mAh
Pengecasan berwayar 45W
Pengecasan nirwayar 15W
Pengecasan berbalik 4.5W
SIM/TelefoniNano/5G/eSIM
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas cap jari skrin
Harga JualanRM4,899 (12/256 GB)
RM5,399 (12/512 GB)

Rekaan Samsung Galaxy S24+ masih kelihatan lebih kurang sama dengan S23+. Tiada bonggol kamera gergasi di belakang tetapi terdapat tiga bonggol kamera kecil untuk setiap sensor berbeza. Rekaan yang ringkas ini tidak memeningkan kepala kerana ia sangat elegan dan tampak profesional. Warna yang saya gunakan ini adalah Cobalt Violet iaitu warna ungu dengan sedikit pencahayaan warna biru gelap.

S24+ mudah dikendalikan kerana tubuh yang nipis tetapi ia agak licin kerana kemasan yang berkilat. Memegang peranti ini secara melintang untuk jangka masa yang panjang turut kurang selesa kerana sisi yang terlampau rata. Tetapi saya tidak begitu hiraukannya kerana rekaan skrin dengan bezel yang sangat nipis dan sekata.

S24+ turut menggunakan rekaan di mana semua butang berada di sisi kiri dan tiada apa-apa di sisi kanan. Setiap butang juga sedap untuk ditekan dan tidak terasa janggal atau terlampau keras. Port USB-C, kekisi speaker, lubang mikrofon dan slot kad SIM berada di bawah sementara di atas hanya ada lubang mikrofon dan antena.

SKRIN

Ke mana sahaja saya pergi, orang ramai akan memuji Samsung kerana kualiti skrin yang cemerlang. Tidak kiralah peranti kelas pertengahan ataupun mercu, pengguna pasti tidak menyesal. Begitu juga dengan Galaxy S24+ dengan skrin bersaiz 6.7-inci Dynamic LTPO AMOLED 2X dengan kadar segar semula 120Hz, kecerahan 2600 nits dan paparan warna HDR10+ ini.

Setiap kandungan Netflix, Prime Video dan Disney+ yang saya strim sentiasa memberikan pengalaman menonton terbaik seakan televisyen bersaiz mini. Warna yang sangat terang, kecerahan yang tiada tandingan dan kadar segar semula yang sentiasa lancar serta konsisten ini membuatkan saya sukar menggunakan telefon mercu Android yang lain.

Walaupun tiada Gorilla Glass Armor seperti Galaxy S24 Ultra yang mengurangkan kesan pantulan cahaya sehingga 75%, Gorilla Glass Victus 2 yang tahan lasak serta sentiasa menjadikan skrin nampak tajam ini sudah memadai.

Biometri

Saya rasa sehingga hari ini, hanya Samsung sahaja masih menyertakan pengimbas cap jari ultrasonik pada peranti mercu mereka. Dengan pengimbas cap jari optikal pun sudah pantas, tiada sebarang keunikan pada S24+ ini selain skrin tidak akan menyala dengan terang ketika menyahkunci peranti di kawasan gelap.

Penggunaan Dan Perisian

Seperti S24 dan S24 Ultra, S24+ turut menjalankan One UI 6.1 yang terbaru berasaskan Android 14. Jika anda sudah menggunakan One UI 6.0 pada peranti Samsung yang lain, percayalah yang pengalaman penggunaannya adalah lebih kurang sama. One UI 6.1 turut masih memfokuskan kemampuan kustomasi Material You seperti Android 14 stok, meningkatkan perlindungan pengguna, dan memberikan prestasi terbaik.

Apa yang menjadikan S24+ ini lebih menarik adalah, One UI 6.1 ini dipadankan dengan cip Exynos 2400 serta ciri AI generatif yang boleh diproses dari dalam peranti. Sistem operasi ini tiada masalah dengan Exynos terbaru, sebaliknya mampu beroperasi dengan sangat lancar dan pantas. Sistem juga tiada masalah tergendala secara tiba-tiba atau menyebabkan lengah masa.

Saya amat sukar apabila One UI tidak lagi mengambil masa sehingga satu minggu untuk mempelajari corak penggunaan bateri peranti. Kali ini ia hanya mengambil masa sekitar 3 hari sahaja. Kemudian yang membuatkan saya sukar menukar kembali ke peranti Android lain adalah, Galaxy AI yang sangat membantu dan produktif.

Ada banyak ciri AI generratif terbina, tetapi apa yang amat saya sukakan adalah Chat Assistant, Call Assist, Photo Assist dan Circle to Search with Google.

  • Chat Assistant
    • Boleh terjemah perbualan dalam WhatsApp dari bahasa asing ke bahasa Inggeris.
    • Boleh tulis semula teks dalam intonasi lebih formal, santai, dan banyak lagi.
    • Boleh tulis semula teks dengan ejaan dan tatabahasa yang betul.
  • Call Assist
    • Panggilan telefon dengan individu berbahasa asing kini tiada halangan.
  • Photo Assist
    • Ciri seakan Generative Fill pada Photoshop di hujung jari sahaja.
  • Circle to Search with Google
    • Ciri carian seakan Google Lens yang lebih memudahkan dan efisien.

Baca lanjut kemampuan perisian Galaxy S24+, lebih-lebih lagi ciri Galaxy AI yang membawakan kemampuan AI generatif terbina dan percuma pada telefon pintar dalam artikel pandang pertama peranti ini;

PENANDA ARAS

Saya tahu ramai yang skeptikal dan mula mengutuk Samsung apabila S24 dan S24+ diumumkan akan menggunakan Exynos 2400 dan bukannya Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy. Lebih-lebih lagi apabila markah penanda aras yang dicatatkan lebih rendah berbanding peranti pesaing.

Tetapi kali ini benar-benar saya boleh katakan kerana saya sendiri telah rasakan, markah penanda aras adalah nombor semata-mata. Penggunaan di dunia sebenar adalah menakjubkan. Bagaimana anda kata Pixel 6, 7 dan 8 itu lancar walaupun menggunakan cip Tensor yang lemah seperti pesaing – itulah pengalaman menggunakan S24+.

AnTuTu 3D

  • Samsung Exynos 2400 – 1,643,090
  • Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy – 1,768,765
  • Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 – 2,075,821
  • MediaTek Dimensity 9300 – 1,852,552
  • Apple A17 Pro – 1,523,961

Geekbench 6

  • Samsung Exynos 2400 – 1539/6510
  • Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy – 2278/7016
  • Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 – 2181/6631
  • MediaTek Dimensity 9300 – 2071/5032
  • Apple A17 Pro – 2873/7228

3DMark – Wild Life Extreme

  • Samsung Exynos 2400 – 2813 / 16.85FPS
  • Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy – 4657 / 27.89 FPS
  • Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 – 5045 / 30.22 FPS
  • MediaTek Dimensity 9300 – 4067 / 24.35 FPS
  • Apple A17 Pro – 3695 / 22.1 FPS

3DMark – Solar Bay

  • Samsung Exynos 2400 – 6152 / 23.39 FPS
  • Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy – 8564 / 32.56 FPS
  • Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 – 8528 / 32.43 FPS
  • MediaTek Dimensity 9300 – 6929 / 26.35 FPS
  • Apple A17 Pro – 6333 / 24.1 FPS

Bermain permua dengan peranti ini tidak menjadi masalah. Ia masih menyokong Ray Tracing untuk bermain permua dengan grafik terbaik, peranti tiada masalah menjalankan banyak aplikasi serentak, memproses tugasan AI juga sangat pantas dan paling penting – peranti tidak memanas sehingga ia tidak boleh dipegang.

KAMERA

Kalau telefon sudah fokus pada AI, adakah kamera juga mementingkan AI seperti Pixel 8 Pro? Jawapannya tidak. Samsung masih mengekalkan profil warna mereka yang mempunyai ketepuan warna yang tinggi, kontras yang dalam serta warna yang tajam. Cuma kali ini terdapat sedikit kesan kulit yang lembut mungkin kerana pemprosesan imej baharu Exynos.

Kemampuan kamera utama adalah sangat baik dan memuaskan. Mod potret juga mengejutkan, sementara kualiti sudut ultra lebar masih mampu memelihara butiran dengan baik. Kemampuan zum tidak boleh menandingi Redmi Note 13 Pro+ kerana kemampuan sensor yang terhad. Apa yang mengecewakan sedikit adalah mod malam yang tidak begitu hebat berbanding pesaing dalam kelas dan harga lebih kurang sama.

Mod auto, di dalam kedai yang tidak begitu terang.
Mod potret di dalam rumah vs di luar rumah – bayi bergerak
Sudut ultra-lebar, petang sekitar 3PM
Luar rumah, mendung,
Malam auto, sekitar 11.30 PM.
Mod auto jarak dekat.
Di dalam rumah, cahaya luar, zum 3x.
Di dalam kedai, kurang lampu tetapi ada cahaya luar.
Zum 10x.

VIDEO

Kemampuan video sudah semestinya memuaskan. Video 8K mampu dirakam dengan baik di waktu malam berbanding mengambil gambar. Ciri kegemaran saya adalah rakam video biasa dan sunting kemudian dengan AI untuk kesan gerak perlahan yang realistik.

Video 8K dan gerak perlahan yang disunting dengan AI – telah dipangkas dan diproses.

TELEFONI DAN GPS

Sepanjang penggunaan peranti ini dengan pelan Maxis, sambungan 5G sentiasa diterima dengan pantas dan stabil. Sambungan WiFi juga lancar dengan turut menyokong VoWiFi. Untuk GPS, peranti mampu mengunci lokasi dengan pantas dan arahan selok-belok pada Google Maps dan Waze beroperasi seperti yang dijangkakan.

BATERI

Sudah bertahun saya tidak menggunakan peranti Samsung dengan cip Exynos. Tetapi apa yang saya ingat adalah Exynos kalau peranti tidak memanas, bateri pasti tidak tahan. Samsung Galaxy S24+ ini membuatkan saya terkejut apabila penggunaan ekstrem dengan skrin QHD+, Always-on Display aktif, lebih sejam permua dimainkan, aktif menstrim muzik dan video serta aplikasi media sosial kerap terbuka – peranti tiada masalah mencatatkan SOT sehingga 7 jam.

Sementara dalam tetapan skrin FHD+ dengan penggunaan lebih kurang sama saya boleh menerima SOT sekitar 8 jam. Ini bermakna, penggunaan yang lebih ringan mampu mencapai ketahanan 9-10 jam SOT. Pengecasan 45W sebenarnya agak perlahan dengan pesaing kebanyakannya sudah ke arah 100W dan ke atas. Tetapi untuk peranti Samsung dengan Exynos, ketahanan bateri seperti ini sudah layak diberikan pujian.

AUDIO

Samsung dan Dolby Atmos berpisah tiada sejak bertahun lamanya. Speaker S24+ memberikan pengalaman pendengaran seperti mana-mana peranti mercu dalam kelas harga yang sama. Ia lantang, seimbang, enak dan mempunyai kejelasan yang baik. Speaker siri Galaxy S sepatutnya menjadi penanda aras untuk peranti mercu Android yang lain.

PESAING

Samsung Galaxy S24+OnePlus 12Vivo X100 Pro
6.7″ Dynamic LTPO AMOLED 2X, QHD+, 120Hz
HDR10+, 2600 nits
6.82″ LTPO AMOLED, QHD+, 120Hz,
Dolby Vision, HDR10+, 4500 nits
6.78″ AMOLED, FHD+, HDR10+, 120Hz, 3000 nits
Exynos 2400 (4nm)
1x 3.2GHz Cortex-X4
2x 2.9GHz Cortex-A720
3x 2.6GHz Cortex-A720
4x 1.95GHz Cortex-A520
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)
1x 3.0 GHz Cortex-X2
3x 2.5 GHz Cortex-A710
4x 1.80 GHz Cortex-A510
Dimensity 9300 (4nm)
1x 3.25 GHz Cortex-X4
3x 2.85 GHz Cortex-X4
4x 2.0 GHz Cortex-A720
Xclipse 940Adreno 750Immortalis-G720 MC12
12GB LPDRR5X16GB LPDRR5X16GB LPDDR5X
256/512 GB UFS 4.0512GB UFS 4.0512GB UFS 4.0
Kamera Utama
50 MP, f/1.8, (Sudut Lebar), OIS
10 MP, f/2.4, (Telefoto), OIS, 3x Zum Optikal
12 MP, f/2.2, (Sudu Ultra Lebar)
Kamera Utama
50 MP, f/1.6 (Sudut Lebar), OIS
64 MP, f/2.6 (Telefoto), OIS, 3x Zum Optikal
48 MP, f/2.2 (Sudut Ultra-Lebar)]
4th Gen Hasselblad For Mobile
Kamera Utama
50 MP, 1″, f/1.75, (Sudut Lebar), OIS
50 MP, f/2.5, (Periskop Telefoto), OIS, 4.3x Zum Optikal
50 MP, f/2.0 (Ultra Sudut lebar)
Zeiss
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.0
IP68IP68IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4900 mAh (Berwayar 45W)5400 mAh (Berwayar 100W)5400 mAh (Berwayar 100W)
RM4,899 (12/256 GB)
RM5,399 (12/512 GB)
RM4,599 (16/512 GB)RM4,599 (16/512 GB)

APA ADA DALAM KOTAK?

Berikut adalah apa yang anda akan terima dengan setiap pembelian Samsung Galaxy S24+

  • 1x Galaxy S24+
  • 1x Kabel USB-C le USB-C
  • 1x Pin SIM
  • 1x Set buku panduan dan keselamatan

KESIMPULAN

Amat sukar sebenarnya untuk saya cadangkan orang ramai membeli Samsung Galaxy S24+ kerana saya sudah tahu akan ada peranti mercu lain yang akan tiba dalam masa terdekat dengan harga lebih kurang sama tetapi spesifikasi yang lebih berkuasa. Menjadi lebih sukar apabila saya sendiri jatuh hati dengan peranti ini. Selepas cuba kembali ke peranti mercu Android yang lain, saya mendapati tiada peranti Android dapat menandingi S24+ ini.

Pertama ia berbaloi kerana harga permulaan RM4899 dan dengan kemas kini selama 7 tahun bermakna sebulan anda hanya membelanjakan sekitar RM58 sahaja. Perisian AI yang pihak ketiga memerlukan langganan percuma digunakan pada peranti ini. Kamera masih hebat walaupun tidak bekerjasama dengan pengeluar kamera. Kemudian prestasi dan ketahanan bateri yang luar biasa, peranti pesaing harus menawarkan kejutan lain jika ingin menjual harga RM4899 dan ke atas.

Pro

  • Skrin yang sangat cantik dan menakjubkan.
  • Prestasi Exynos 2400 yang mengejutkan.
  • Ketahanan bateri berada di luar jangkaan.
  • Perisian yang mantap dengan kemas kini 7 tahun.
  • Ciri AI generatif menarik percuma digunakan.

Kontra

  • Pengecasan hanya 45W.
  • Sokongan zum tidak memuaskan.
  • Ciri AI percuma sehingga hujung 2025 sahaja.
  • Harga permulaan yang agak tinggi.
Komen