Mr Beast dan Amazon telah disaman oleh beberapa orang peserta rancangan realiti Beast Games kerana pelbagai kesalahan yang dilakukan sepanjang produksi. Antara tuduhan yang dilemparkan ialah kegagalan membayar gaji minimum, gangguan seksual ke atas peserta wanita, menyebabkan tekanan emosi, membahayakan peserta dan tidak memberikan waktu makan serta rehat yang mencukupi.
Identiti peserta-peserta yang memfailkan saman adalah dirahsiakan. Peguam yang mewakili mereka mengatakan walaupun peserta menandatangani kontrak dan menyedari risiko menyertai rancangan Beast Games, situasi yang dihadapi adalah lebih teruk daripada yang disangka. Ada antara mereka yang dimasukkan ke hospital manakala sebahagian lagi mendakwa mengalami kecederaan fizikal dan mental.
Penggambaran Beast Games sudahpun selesai tetapi tarikh bila ia akan ditayangkan di Prime Video belum diumumkan. Berita mengenai peserta yang menerima layanan buruk sudahpun didengari sejak beberapa bulan yang lalu. Ia kemudiannya tular sekali lagi selepas muncul insiden salah laku melibatkan kakitangan Mr Beast dengan peminat bawah umur.