Carian
DJI Osmo Action 5 Pro Rasmi Dengan Rakaman Dan Hayat Bateri Lebih Baik – Harga Bermula RM1,799
September 20, 2024 Amy Maizuraa

DJI Osmo Action 5 Pro telah dilancarkan secara rasmi dan dikatakan mampu memberi persaingan kepada GoPro Hero13 Black yang diumumkan minggu lalu. Melaluinya DJI menawarkan penambahbaikan yang termasuk perkakasan dalaman yang dipertingkatkan dan jangka hayat bateri lebih panjang. Seterusnya mampu meningkatkan pengalaman pengguna dalam segmen kamera aksi yang kompetitif.

Osmo Action 5 Pro didatangkan dengan sensor 40MP (1/1.3″) yang juga menawarkan julat dinamik 13.5-stop pertama dalam industri. Ia juga boleh merakam video 4K/60FPS dalam pencahayaan rendah dengan bantuan SuperNight Mode berkuasa AI terbina. Algoritma pengurangan hingar pintar disertakan juga mampu memastikan rakaman yang lebih terang dan jelas. Terdapat juga ciri Subject Centering & Tracking System terbina yang boleh mengesan subjek secara automatik kemudian melaraskan komposisi untuk memastikan ia berada dalam bingkai.

Osmo Action 5 Pro juga pilihan ideal untuk mereka yang gemar akan aktiviti air mencabar seperti menyelam pada kedalaman 20-meter tanpa memerlukan sarung pelindung. Sensor suhu warna terbina yang disediakan mampu membolehkan pengguna merakam video di bawah air dengan kualiti imej warna yang sebenar. Kemudian sensor tekanan terbina pula boleh memantau kedalaman, tempoh dan ketinggian paras air bagi tujuan memastikan pengguna selamat sewaktu merakam.

Kedua-dua skrin hadapan dan belakang pada Osmo Action 5 Pro turut dinaiktaraf dengan panel OLED lebih besar dan kecerahan puncak 1000 nits. Selain itu boleh disambungkan terus ke DJI Mic 2 Transmitter melalui bluetooth untuk rakaman audio lebih berkualiti tinggi. Kamera juga menawarkan storan terbina 47GB dan keupayaan pemindahan fail dengan kelajuan sehingga 80MB/s melalui Wi-Fi 6 atau USB 3.0. DJI turut mendakwa bahawa ia boleh merakam secara berterusan sehingga empat jam dengan sekali cas.

Harga jualan ialah bermula RM1,799 untuk kombo standard dan RM2,289 dengan pelbagai aksesori tambahan seperti Quick-Release Adapter Mount (mini), Osmo Action Multifunctional Battery Case, dan Osmo 1.5m Extension Rod.

Komen