Geely Galaxy E5 Tiba Dari China Ke Malaysia – Kini Giliran Proton e.MAS7 Menjelajah Seluruh Malaysia
Ikhwan Nazri
Tiada cara lain bagi membuktikan keupayaan kereta elektrik selain membawanya untuk satu jarak yang jauh. Saya sendiri mengambil peluang untuk memandu Smart #1 Premium sejauh 2345.1km di seluruh semenanjung selama 5 hari bagi mempelajari berkenaan EV. Hari ini Geely Galaxy E5 telah dipandu dari China ke Malaysia, sejauh lebih 3700km selama 10 hari.

Geely Galaxy E5 merupakan kereta elektrik dalam kelas SUV yang turut dibina bersama-sama kereta elektrik pertama Proton iaitu e.MAS 7. Oleh itu perjalanan jarak jauh Galaxy E5 ini sedikit sebanyak juga mengisyaratkan kebolehan e.MAS 7 untuk melakukan perkara yang sama.

Bermula dari kilang Geely di Guiyang, Jiang Yanlin iaitu ketua pasukan konvoi Galaxy E5 telah menelusuri China, Laos, dan Thailand sebelum sampai ke Malaysia. Perjalanan ini turut menempuh cabaran melalui situasi banjir serta Taufan Yagi di Laos. Setelah sampai di Shah Alam, kini giliran Proton e.MAS7 untuk menjelajah seluruh Malaysia melebihi 2000km untuk membuktikan kebolehan jarak jauh.

Jelajah Proton e.MAS7 ini akan bermula pada 5 Oktober ini, bermula dari Negeri Sembilan dan pulang ke Selangor bagi melengkapkan pusingan seluruh Semenanjung, sebelum ke Sabah dan menamatkan keseluruhan jelajah di Sarawak. Sewaktu jelajah ini mereka akan bersinggah di bandar-bandar utama seluruh negeri, dan mempelawa rakyat tempatan untuk melihat sendiri Proton e.MAS7 dengan lebih dekat.

Sehingga kini lebih dari 20,000 Galaxy E5 telah dihantar kepada pembeli di China, membuktikan permintaan yang tinggi. Tidak mustahil Proton e.MAS7 bakal mendapat permintaan yang tinggi dari pengguna yang inginkan kereta elektrik tempatan. Bagi anda yang ingin mengikuti pengembaraan Proton e.MAS7 seluruh Malaysia, boleh layari laman media sosial Proton dan juga tanda pagar #eMAS7Tour & #JELAJAHeMAS7