Melihatkan pada perkembangan industri tempatan, kereta elektrik (EV) dilihat semakin banyak diperkenalkan namun rata-rata pendapat pengguna secara amnya beranggapan EV hanya sesuai untuk digunakan di bandar, dan mungkin kurang sesuai untuk membawanya bagi kegunaan jarak jauh. Masakan tidak, ia juga bersangkut paut dengan ketersediaan infrastruktur pengecasan kerana tanpa pengecas, penggunaan EV merupakan satu perkara yang sangat mencabar.

Justeru apabila saya berkesempatan untuk menggunakan Smart #1 Premium sewaktu cuti Hari Raya Aidilfitri yang lalu, saya terus merasakan patut untuk mengujinya dalam perjalanan yang lebih jauh, termasuklah dalam situasi yang mencabar seperti membawanya meneroka Banjaran Titiwangsa dari Pulau Pinang ke Kelantan. Perjalanan selama 5 hari ini telah membawa saya sejauh 2345.1 KM dan juga pelbagai pengalaman serta data-data yang telah direkodkan untuk dikongsikan dengan semua.
Smart #1 Premium merupakan variasi Smart #1 dengan motor elektrik di bahagian belakang, yang boleh menjana kuasa sebanyak 200kW, tork 343 nm dan berkemampuan untuk memecut 0-100 km/j sepantas 6.7 saat. Ia mempunyai bateri berkapasiti 66 kWh yang memberikan jarak perjalanan sejauh 440 km, serta boleh dicaj 10%- 80% dalam tempoh 30 minit dengan pengecasan DC 150kW dan turut menyokong pengecasan AC 22 kW yang membolehkan ia dicaj 0-80% dalam masa 3 jam.

Hari 1 – Dari KL ke Pulau Pinang
Bermula hari raya kedua, saya telah memulakan perjalanan dari Kawasan Rehat & Rawat Awan Besar menuju ke Batu Kawan, Pulau Pinang. Saya telah mengecas sehingga 92% di rumah menggunakan pengecas 3-pin yang memberikan kuasa sekitar 3.5 kW. Kebiasaannya, anda memerlukan masa yang tersangat lama apabila menggunakan pengecas 3.5 kW dan saya sendiri mengecas sekitar 12 jam untuk mendapatkan sekitar 42 kWh.
Dalam dua ulasan terdahulu iaitu untuk Smart #1 Brabus dan Mercedes EQB 350, saya tidak berjaya untuk mengecas di Gentari Hentian Sebelah Behrang arah utara dan saya ingin mengecas di sini kerana ingin menggunakan WCE kearah utara. Justeru saya telah mengecas dari 64%-83% menggunakan aplikasi Hello Smart yang menawarkan diskaun khas 30% dari 6 April sehingga 14 April lalu. Untuk penggunaan selama 21 minit ini telah memberikan tenaga sebanyak 14.59 kW dan dikenakan bayaran sebanyak RM 17.27.
Sesudah menggunakan pengecas Gentari tersebut, stesen tersebut telah kehabisan kuasa dan perlu dicas semula. Kali ini Gentari telahpun menambah label SOC pada aplikasi mereka, dan pengguna EV yang menyemak aplikasi akan dapat mengetahui status ketersediaan pengecas ini yang menggunakan tenaga solar dan juga mengecas seumpama bank kuasa kerana bekalan tenaganya tidak disambung terus kepada grid kuasa seperti pengecas-pengecas yang lain.
Pemilihan untuk melakukan ulasan ini sewaktu raya mungkin juga bertepatan dengan situasi perjalanan yang turut mengalami kesesakan lalu lintas. Sewaktu melalui Teluk Intan, dan juga melalui Changkat Jering, kesesakan teruk berlaku kerana masih banyak kereta di jalan raya namun kereta elektrik tidak menggunakan tenaga yang banyak sewaktu kesesakan lalu lintas, berbeza sekali dengan kereta yang menggunakan petrol. Di Teluk Intan, kesesakan lalu lintas selama 12 minit tidak mengurangkan walau 1% kuasa bateri dan ini dapat memberikan jarak perjalanan yang lebih untuk EV tersebut.

Saya telah sampai ke ChargEV Starbucks Eco Horizon, Batu Kawan Pulau Pinang di mana pengecas 22kW tersedia di sini, dan dalam jarak yang berdekatan dengan hotel. Dengan tenaga yang berbaki 17%, saya telah bergerak sejauh 366.8km dalam masa 6 jam 43 minit.
Hari Kedua – Pusing Beraya Kedah & Pulau Pinang
Smart #1 Premium menyokong pengecasan 22 kW jadi pemilihan lokasi di Batu Kawan ini adalah kerana saya dapat mengecas secara percuma kerana saya mempunyai keahlian ChargEV yang berharga RM 240 setahun. Untuk hari kedua, saya telah mengecas di lokasi ini sebanyak 2 sesi, iaitu sewaktu makan malam hari pertama selama 50 minit, dan pada waktu pagi hari kedua selama 2 jam 24 minit yang memberikan 98% tenaga bagi memulakan hari kedua.
Sesudah pengecasan tersebut dilengkapkan, saya juga mendapati perbezaan besar anggaran jarak secara Standard dan juga Dynamic. Pilihan anggaran jarak Standard memberikan anggaran berdasarkan kapasiti bateri, di mana boleh dikatakan 1% bateri adalah bersamaan 4.4km namun anggaran Dynamic adalah bergantung kepada corak pemanduan yang turut dipengaruhi oleh situasi di jalan raya.
Smart #1 Premium mampu bergerak sejauh 440 km namun memandangkan saya telah menempuh kesesakan lalu lintas pada hari pertama, perkiraan anggaran jarak telah membuatkan nilai ini naik untuk pilihan anggaran Dynamic. Ia meramalkan yang saya boleh memandu sejauh 472 km berbanding kiraan Standard 440 km.

Secara peribadinya, saya lebih suka paparan anggaran Standard kerana ia merujuk kepada keupayaan bateri tersebut dan jika saya memilih Dynamic, saya rasa saya lebih cepat berasa kegusaran perjalanan kerana akan melihat angka tersebut jatuh mendadak. Namun di sini juga harus diberikan pujian kepada Smart kerana dengan algoritma mereka, ia menunjukkan yang pengiraan anggaran jaraknya 440km berkemungkinan adalah nilai lebih kecil, dan mungkin ia mampu menawarkan jarak perjalanan sebenar yang lebih dari itu.
Saya telah pergi ke Smart Eleganz Lifestyle Pulau Pinang untuk beberapa pemeriksaan, sebelum meneruskan perjalanan beraya pada hari raya ketiga di Bukit Kayu Hitam. Dalam perjalanan ini, memandangkan saya tahu yang terdapatnya pengecas yang ingin digunakan, saya telah membawa Smart #1 Premium ini dengan lebih laju berbanding kebiasaan. Malah terdapat masa yang saya merekodkan purata penggunaan tenaga sebanyak 22 kWh / 100km dan ini antara yang tertinggi dalam keseluruhan perjalanan ini.

Untuk hari kedua ini, saya telah mengecas di ChargEV Starbucks Kangar Jaya iaitu (satu-satunya) lokasi pengecasan yang terdapat di Perlis dan mungkin antara stesen pengecasan DC yang terakhir bagi mereka yang ingin membawa EV ke Pulau Langkawi dari jeti Kuala Perlis. Pengecasan ini mengambil masa selama 41 minit dengan tenaga yang dicas semula adalah 37.810 kWh pada jumlah RM 33.57 selepas mengambil kira diskaun 30% dari Smart.
Perjalanan pulang pula saya masih terperangkap dalam kesesakan menghala ke Pulau Pinang disebabkan terdapatnya kemalangan, dan ini sedikit sebanyak mempengaruhi kiraan Dynamic pada keesokan harinya. Saya telah tiba di Hotel St Giles Wembley bagi menginap dan mengecas secara percuma menerusi pengecas AC 3.5kW yang disediakan.

Hari Ketiga – Dari Pulau Pinang Ke Kelantan
Pilihan untuk tidur di hotel yang mempunyai pengecasan boleh dikatakan pilihan terbaik kerana anda tidak akan berasa masa dibazirkan namun seperkara yang perlu diketahui adalah kelajuan pengecas yang tersedia. Pengecas 3.5kW di hotel ini boleh dikatakan sekadar mencukupi, dan saya telah mengecas hampir 12 jam dari pukul 10:48pm sehingga 10:47 pagi, dan tenaga yang dicaj adalah dari 35%-91%. Untuk tempoh yang sama, bateri akan penuh sekiranya anda menggunakan pengecas AC 11kW atau 22kW.

Jadi untuk hari ketiga, saya telah pergi ke 1st Avenue Mall untuk melengkapkan pengecasan 91%-100% selama 30 minit menggunakan ChargeSini. Sewaktu ulasan ini dilakukan, ChargeSini belum tersedia menerusi aplikasi Hello Smart jadi saya telah bayaran yang dikenakan untuk 6.80 kWh adalah RM 8.16 untuk tempoh parkir selama 34 minit.

Sesudah mengecas di 1st Avenue Mall, saya memulakan perjalanan ke arah Kota Bharu menggunakan mod pemanduan Eco dan dijangka akan tiba di sana dengan tenaga yang diramalkan menerusi sistem pemetaan Smart adalah sebanyak 36%. Salah satu perkara yang dirisaukan pemilik EV adalah penggunaan tenaga sewaktu mendaki. Ini kerana apabila mendaki bukit dan melusuri banjaran, tenaga yang banyak diperlukan dan ini sekaligus akan memberi kesan kepada kiraan jarak perjalanan yang terpapar dan berpotensi menimbulkan kegusaran perjalanan.
Dalam perjalanan sekitar Grik tidaklah menggunakan banyak tenaga kerana terdapat turun dan naik dalam kadar seimbang, dan terdapat satu bahagian yang saya memandu selama 6 minit dengan tiada sebarang perubahan pada peratusan bateri. Namun selepas kawasan Tasik Banding dan mendaki ke kawasan rehat Amiza Titiwangsa, di mana kenaikan secara mendadak berlaku dan peratusan bateri dan ramalan jarak turun dengan lebih pantas berbanding biasa. Jika di kaki Tasik Banding dengan tenaga sekitar 59% dan beza jarak bateri/jarak destinasi adalah 90km, saya tiba di kawasan rehat dengan tenaga berbaki 47% dengan beza jarak bateri/jarak destinasi adalah sebanyak 63%.
Namun salah satu manfaat EV berbanding kenderaan biasa adalah tenaga yang dihabiskan menaiki bukit, berpotensi untuk dijana semula sewaktu menuruni bukit walaupun tidak mencapai 100% tenaga yang hilang sewaktu naik. Dari kawasan rehat Amiza ke daerah Jeli, saya hanya menggunakan sebanyak 6 kWh atau secara purata 2.6 kWh / 100km, dengan 4 kWh adalah tenaga yang dijana semula. Ini sekaligus boleh menambah jarak perjalanan untuk kenderaan ini, dan mungkin boleh dikatakan sebagai ‘ganjaran’ buat mereka yang memandu EV mendaki kawasan tinggi.

Saya telah sampai ke Hotel Ibis Styles dengan tenaga berbaki 26%, 10% tersasar dari jangkaan sebenar berkemungkinan kerana saya turut memandu laju di kawasan berbukit dan mengambil masa selama 6 jam 18 minit untuk tiba di destinasi. Menariknya adalah 32% dari perjalanan ini adalah menggunakan tenaga janaan semula, dengan perkiraan penggunaan tenaga sebanyak 66kWh, dan tenaga janaan semula sebanyak 22kWh.


Hari Keempat – Dari Kelantan Ke Johor
Saya menyangka hotel Ibis Styles menyediakan pengecasan berterusan yang percuma seperti St Giles Wembley namun pengecasan percuma yang disediakan adalah terhad kepada 4 jam pertama dan jam berikut akan dicaj pada kadar yang tidak menguntungkan. Memandangkan ia merupakan pengecasan perlahan AC 6.5kW, saya mengecas secara DC di Gentari Hotel Perdana Kota Baharu selama 1 jam 15 minit dengan kapasiti dicas 53.62 kWh dan dikenakan bayaran sebanyak RM 59.51 kerana masih mempunyai diskaun dari Smart.
Perjalanan pagi tersebut dimulakan lebih awal kerana terdapatnya kesesakan lalu lintas untuk kereta dari Pantai Timur pulang ke bandar KL. Hari keempat ini juga hari yang paling jauh serta paling panjang untuk pemanduan keseluruhan ulasan ini. Memandangkan kebanyakan jalan yang digunakan adalah jalan negeri, penggunaan tenaga adalah agak efisien, namun kesesakan lalu lintas mula membuatkan saya ingin memandu laju.
Berbeza dengan tiga hari terdahulu, di mana saya mungkin memandu dengan biasa, pemanduan pada hari keempat adalah sedikit agresif kerana sedang berjuang dengan masa. Masakan tidak, dari bandar Kelantan ke hujung Johor iaitu Pekan Desaru, mempunyai jarak melebihi 700km. Oleh itu jika pada asalnya saya ingin mengecas di ChargEV Starbucks Indera Mahkota, Waze telah memberikan jalan yang lebih pantas yang melalui Mydin Gong Badak, membolehkan pengecasan pantas dilakukan.

Jika pada hari ketiga saya menyaksikan faedah fungsi janaan semula yang memberikan tenaga sewaktu menuruni bukit, hari keempat merupakan hari yang saya memandu dengan agresif dan masih turut menjana semula tenaga. Ini kerana menggunakan jalan negeri, ada masanya anda perlu memotong kenderaan di hadapan dan EV merupakan kereta terbaik dan masih mempunyai harga yang tidak terlalu mahal untuk fungsi ini.
Acapkali dinyatakan kuasa pecutan Smart #1 Premium yang boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.6 saat, dan dalam pemanduan jalan negeri, saya senang untuk memotong kenderaan yang lebih perlahan dengan mudah. Dan selesai memotong, inersia yang terhasil memberikan janaan semula tenaga dan mengecas bateri, meskipun ia bukanlah satu nilai yang tinggi, namun cukup untuk menambah jarak perjalanan anda.


Saya telah mengecas di ChargEV Starbucks Indera Mahkota namun disebabkan pengecas ini tiba-tiba tidak tersedia, saya telah menyimpang ke Pesat CTM namun tidak lama kerana lokasi tersebut akan ditutup. Maka saya berpatah balik untuk menyempurnakan pengecasan penuh di ChargEV Starbucks Indera Mahkota. Saya telah berada di Kuantan selama 2 jam untuk mengecas dari 22% – 100% bagi meneruskan perjalanan ke Desaru.

Menghala Desaru, tidak banyak EV yang saya temui sepanjang perjalanan ini, dan memandangkan hari telah beransur kelam, saya memandu dengan lebih pantas dari biasa bagi mengejar waktu, namun masih mempunyai penggunaan tenaga yang sangat baik jika dikira dari purata penggunaan tenaga 156 kWh dan juga tenaga jana semula sebanyak 47kWh untuk pemanduan selama 12 jam lebih.

Hari Kelima – Dari Johor Pulang ke KL
Untuk hari terakhir ini, saya telah mengecas pantas di DC Handal, dan mengambil masa selama 1 jam 11 minit untuk 55.76 kWh yang memerlukan bayaran RM 83.63. Pengecas ini juga berjaya memberikan tenaga setinggi 122 kW hasil dari Smart #3 yang menyokong pengecasan DC sehingga 150 kW. Untuk perjalanan pulang, memandangkan saya bermula dengan lambat, saya memandu dengan kadar pemanduan lebih laju dari yang biasa, dan sempat singgah di mercu tanda KM 0 Johor Bahru.

Secara logiknya saya sepatutnya boleh sampai ke R & R Awan Besar yang berjarak 440km dari Desaru, namun atas sebab pemanduan dan juga beberapa persinggahan, saya telah berhenti di Shell Pagoh untuk mencuba mengecas Parkeasy. Di sini saya telah mengecas selama 15 minit bagi mendapatkan peratusan 36%-61% dan telah mengecas 17.06 kW dengan bayaran sebanyak RM 42.54. Ini merupakan bayaran paling mahal dalam keseluruhan perjalanan ini.

Meneruskan perjalanan pulang, saya telah menempuh hujan dan di sini juga saya mendapati penggunaan tenaga bertambah lebih tinggi. Ini kerana hujan menyebabkan rintangan bertambah, dan lebih tenaga diperlukan untuk menggerakkan kereta, dan juga penggunaan pengilap cermin serta pendingin hawa yang lebih banyak.
Saya telah sampai di ChargEV Starbucks Conezion Putrajaya dengan tenaga berbaki 16% dan mengecas untuk kali terakhir, sebelum memulangkan Smart #1 Premium ini. Dengan pengecas AC 22kW, saya mengecas sebanyak 13.97kWh dari 16% – 36% selama 43 minit sambil makan malam. Saya menamatkan perjalanan saya di tempat yang sama, iaitu Kawasan Rehat Awan Besar dengan 2345KM direkodkan sepanjang 5 hari ini.

Kesimpulan
Perjalanan sepanjang 5 hari ini memberikan saya banyak ilmu berkenaan EV secara am, dan juga bagaimana prestasi Smart #1 Premium untuk perjalanan yang jauh. Mungkin ada yang berkata mengenai jarak, dan jarak 440KM mungkin dilihat sedikit jika dibandingkan dengan kereta EV lain yang menawarkan jarak perjalanan lebih jauh. Bagi saya jarak 440KM yang ditawarkan Smart adalah mencukupi untuk satu segmen perjalanan seperti KL ke Kedah, atau KL ke Johor, tetapi akan menjadi sangat mencabar apabila perjalanan melebihi jarak seperti dari Kedah ke Johor, atau Kelantan ke Johor.

Saya juga merekodkan corak pemanduan dan juga penggunaan purata kWh / 100km. Hanya perjalanan dari Pulau Pinang ke Johor menggunakan mod Eco, manakala kesemua hari lain menggunakan mod Comfort. Smart #1 Premium didapati sangat boleh diharap dalam memberikan prestasi, memberikan corak pemanduan menyamai kereta petrol biasa, dan dapat menjamin jarak perjalanan dengan baik. Tiada sebarang kegusaran perjalanan terhasil, malah masalah yang timbul adalah dari infrastruktur pengecasan, dan bukan EV itu sendiri. Saya sendiri sangat menikmati pemanduan di jalan negeri dengan adanya pecutan pantas, dan pembrekan janaan semula.

Pengecas 22kW AC juga boleh dikatakan satu faktor yang senantiasa memenangkan Smart kerana waktu pengecasan AC yang dipendekkan. Saya sendiri menggunakan pengecas 22kW sebanyak 4 kali, dengan 3 daripadanya menggunakan ChargEV dan sekali menggunakan ChargeSini. Seperkara lagi yang saya suka adalah ruang storan yang mempunyai pendingin hawa, dapat menyejukkan minuman untuk perjalanan jauh.
Dan kekurangan yang kekal dihadapi adalah sistem pemantauan pemandu yang dilihat terlalu sensitif, yang dapat dibuktikan dalam beberapa ketika, dan lebih ketara apabila seawal pagi hari keempat sewaktu memulakan perjalanan, ia mengesan yang saya ‘kepenatan untuk memandu’ walhal apa yang jadi adalah saya mengalihkan perhatian untuk merakam video.

Dan memandangkan Smart #1 Premium berada dalam kelas hatchback, ruang bagasi sebesar 323 liter mungkin akan menjadi satu dilema bagi anda yang berkeluarga ramai, atau anda yang mengutamakan ruangan bagasi. Pada harganya yang telah dikemaskini, iaitu RM 209,000 ia bersaing rapat dengan EV lain yang menawarkan kapasiti bagasi yang lebih besar, dan jika anda masih inginkan Smart dengan kapasiti bagasi yang besar, mungkin anda perlu menunggu untuk Smart #3.
Pro
- Jarak perjalanan 440km boleh dikatakan sesuai untuk perjalanan sederhana jauh
- Prestasi pecutan memudahkan kereta memotong di jalan negeri
- Ramalan jarak perjalanan yang konsisten, dan tidak melahirkan sebarang kegusaran perjalanan
Kontra
- Sistem pemantauan pemandu yang terlalu sensitif
- Ruang bagasi yang kecil
