Demi Pusat Data Microsoft, Sebuah Stesen Tenaga Nuklear Dihidupkan Semula
Effi Saharudin
Pusat data memerlukan tenaga elektrik dan bekalan air yang tinggi. Akibat keperluan membina pusat data AI, syarikat seperti Google dan Microsoft gagal memenuhi sasaran operasi yang lebih lestari dan hijau tahun lalu. Dengan keperluan tenaga elektrik semakin tinggi, Microsoft terpaksa menggunakan sumber tenaga nuklear.

Stesen janakuasa nuklear Three Mile Island yang terletak di Pennsylvania ditutup pada tahun 2019 kerana tidak lagi menguntungkan. Ini ialah stesen janakuasa yang sama dimana insiden sebuah reaktor hampir lebur pada tahun 1979 sehingga menyebabkan gas radioaktif dilepaskan ke atmosfera. Sehingga kini ia adalah insiden reaktor nuklear paling serius dalam sejarah Amerika Syarikat,
Tetapi demi keperluan tenaga pusat data Microsoft, stesen janakuasa 837-MW ini dihidupkan semula oleh firma Constellation dengan kontrak selama 20 tahun. Penggunaan tenaga nuklear akan mengurangkan tapak pelepasan karbon Microsoft kerana tenaga nuklear diklasifikasikan sebagai sumber tenaga yang lebih bersih.
Keperluan tenaga di Malaysia juga semakin meningkat dan ini adalah sebab mengapa kerajaan tidak menolak menggunakan tenaga nuklear bagi memenuhi sasaran dasar sifar pelepasan karbon negara.