Carian
Malaysia Tidak Menolak Menggunakan Tenaga Nuklear Bagi Menjana Elektrik
August 30, 2023 Effi Saharudin

Penggunaan sumber tenaga nuklear mempunyai konotasi negatif selepas insiden Cherobyl, Three Mile Island dan Fukushima. Impak lepasan bahan radioaktif ke atmosfera oleh ketiga-tiga insiden ini masih dapat dilihat sehingga sekarang. Sungguhpun wujudnya risiko ini, Malaysia tidak menolak menggunakan tenaga nuklear bagi menjana elektrik bagi memenuhi keperluan tenaga nasional.

Reaktor Nuklear mudah alih oleh Radiant

Menurut kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ketika Persidangan Peralihan Tenaga semalam, Malaysia tidak boleh cerewet untuk menggunakan tenaga nuklear sekiranya ia memenuhi kesemua permintaan dan keperluan negara. Malah menurut beliau lagi Malaysia tidak mempunyai kelapangan untuk menolak apa-apa sambil mengiktiraf potensi reaktor nuklear modular kecil.

Dalam acara yang sama, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi turut mengatakan kerajaan sedang mempertimbangkan kuasa nuklear bagi memenuhi sasaran dasar sifar pelepasan karbon negara.

Reaktor pelakuran nuklear di Lawrence Livermore National Laboratory

Penggunaan reaktor pembelahan nuklear menghasilkan sisa radioaktif yang perlu dipantau selama ribuan tahun. Tetapi semasa beroperasi ia tidak membakar bahan api fosil atau menyebabkan kawasan yang luasa dibanjiri air seperti sistem penjanaan tenaga yang lain.

Hujung tahun lalu kejayaan menghasilkan tenaga elektrik menggunakan pelakuran nuklear berjaya dilakukan di Lawrence Livermore National Laboratory. Dalam pelakuran nuklear hanya menghasilkan helium dan neutron yang tidak radioaktif.

Di China dan Korea Selatan pula, Tokamak yang menghasilkan matahari buatan manusia digunakan bagi tujuan yang sama. Tahun ini misalnya Tokamak East milik China mengekalkan suhu 70 juta darjah Celsius selama 17.6 minit yang merupakan tempoh paling lama dicatatkan dalam sejarah.

Komen