Google Earth sudah beroperasi sejak 2001 dengan ia memberikan pandangan satelit permukaan bumi secara percuma. Menerusi Google Earth anda boleh pergi kemana-mana sahaja di atas bumi, di bawah lautan biru dan juga ke stesen angkasa antarabangsa ISS. Hari ini Google Earth telah dikemaskini dengan ia kini menawarkan imej permukaan bumi daripada udara sewal 1930an.
Gambar beberapa bandaraya utama yang diambil menggunakan kapal terbang kini boleh diakses menerusi penuras terbina Google Earth. Kesemua imej satelit permukaan bumi pula boleh diakses dengan imej terawal daripada tahun 1984. Dengan ini pengguna boleh melihat sendiri perubahan bumi dalam tempoh empat dekad menggunakan ciri Timelapse.
Turut dikemaskini hari ini ialah peta Google Street View di 80 negara seperti Australia, Argentina, Brazil, Costa Rica, Denmark, Perancis, Iceland, Jepun, Mexico, New Zealand, Filipina, Rwanda, Serbia, dan Switzerland. Kesemua ciri yang diumumkan hari ini akan boleh diakses menerusi Google Earth pada aplikasi Android, iOS dan juga versi web dalam masa beberapa minggu sahaja lagi.