Carian
Perisian HP Print AI Menyusun Semula Kandungan Dokumen Sebelum Dicetak
September 26, 2024 Effi Saharudin

Mac lalu kami menulis mengenai perisian mesin pencetak HP yang diperkasakan dengan kecerdasan buatan (AI). Menerusi HP Print AI, kandungan yang ingin dicetak akan disusun semula untuk mencetak bahagian yang diperlukan sahaja sekaligus menjimatkan penggunaan kertas dan lebih penting sekali dakwat.

Perisian HP Print AI kini ditawarkan dalam bentuk beta kepada pemilik model mesin pencetak terpilih. Ciri paling menarik ialah Perfect Output yang boleh memformat semula teks dan juga susunan gambar supaya kelihatan lebih menarik berbanding susun atur dokumen asal yang ingin dicetak. Terdapat juga pilihan untuk mencetak gambar atau gambar sahaja.

Pengguna juga boleh mengarahkan HP Print AI untuk menghasilkan kad ucapan berdasarkan gambar yang diberikan. Masukkan prom yang bersesuaian dan HP Print AI akan menjadi pereka grafik untuk kad hari jadi, ulang tahun, perkahwinan dan banyak lagi.

HP berkata perisian HP Print AI ini akan dikembangkan penggunaannya pada mesin pencetak mereka bermula 2025. Pada waktu ini masih tiada senarai lengkap mesin pencetak sedia ada yang akan diberikan ciri ini. Semasa kami melihat demo di Las Vegas enam bulan lalu, ia boleh digunakan pada siri HP Color LaserJet Pro 3000 sahaja.

Komen