Carian
LG / TV
TV LG Mula Memaparkan Iklan Apabila Tidak Digunakan
September 27, 2024 Effi Saharudin

Pengiklanan ialah cara kos sesebuah produk atau perkhidmatan dapat dikurangkan oleh pengeluar. Ini dapat dilihat pada pelancar MIUI dan juga platform penstriman seperti Prime Video. Terkini iklan mula dipaparkan pada TV pintar keluaran LG di Amerika Syarikat.

Apabila mengesan TV tidak digunakan, iklan skrin penuh akan mula dipaparkan di kaca TV dalam bentuk screensaver statik. Pengiklanan mula dipaparkan sejak awal bulan ini. Menurut LG ini ialah bagi menguji sistem pengiklanan mereka dengan ia mungkin akan dibuka kepada jenama lain. Pada ketika ini iklan yang memaparkan produk keluaran LG sahaja.

Berita baik di sini ialah ciri paparan iklan ini boleh dimatikan oleh pemilik menerusi menu tetapan. Berita buruk pula ialah kita sudah tidak boleh melarikan diri daripada pengiklanan dengan ia muncul di semua sudut kehidupan. LG bukan satu-satunya pengeluar yang memaparkan iklan pada TV pintar mereka.

Samsung telah lama melakukannya tetapi menerusi iklan kecil pada bahagian menu. Di Malaysia kami melihat iklan ini muncul setiap kali Samsung melancarkan telefon pintar dan produk elektronik terbaru mereka. Jika pengeluar berkeras ingin memaparkan iklan, mereka perlu mula memberikan TV secara percuma seperti yang dilakukan oleh Telly dua tahun lalu.

Komen