Semalam, siri Xiaomi 14T telah dilancarkan dan hari ini ia tiba ke pasaran Malaysia secara rasmi. Seperti siri 13T tahun lepas, kesemua 14T di Malaysia turut dilengkapi dengan sistem kamera Leica. Lebih menarik kali ini banyak ciri Xiaomi 14 Ultra disertakan bersama.
Xiaomi 14T Pro ialah model paling mercu dengan ia dilengkapi skrin 6.67″ CrystalRes AMOLED, 144Hz dan sistem HDR Dolby Vision. Ia dijana cip Dimensity 9300+, memori 12GB RAM LPDDR5X, storan sehingga 1TB dan bateri pula sebesar 5000 mAh yang menyokong pengecasan berwayar 120W dan juga pengecasan nirwayar 50W.
Kamera utama menggabungkan lensa sudut lebar 50MP Light Fusion 900 + OIS, lensa ultra lebar 12MP dan lensa telefoto 50MP. Di hadapan pula sensor 32MP digunakan pada kamera swafoto. Ketiga-tiga kamera utama di b belakang peranti dilengkapi lensa Leica Summilux.
Xiaomi 14T pula hadir dengan skrin sama, tetapi cip adalah Dimensity 8300 Ultra, memori 12GB RAM LPDDR5X dan storan hanya mencapai 512GB. Bateri adalah sama 5000mAh tetapi terhad dengan 67W dan tiada pengecasan nirwayar. Menariknya, sistem kamera Xiaomi 14T adalah sama dengan yang Pro kecuali sensor utama yang menggunakan 50MP Sony IMX906 + OIS.
Sistem kamera Leica kali ini melibatkan sensor imej Xiaomi AISP, Light Fusion 900 dan algoritma serba baharu memfokuskan mod potret lebih baik dengan pelbagai jarak fokal untuk Master-lens dan kemampuan fotografi waktu malam bertaraf profesional.
Kedua-dua peranti menggunakan sistem operasi Xiaomi HyperOS berasaskan Android 14. Siri Xiaomi 14T turut menjadi yang terawal selepas Samsung dan Pixel menyokong Circle to Search. Xiaomi turut menggunakan teknologi Google Gemini untuk Gemini Live, serta ciri AI lain seperti AI Interpreter, AI Notes dan AI Recorder. Setiap Xiaomi 14T turut dilengkapi pengimbas cap jari bawah skrin, pemancar infra merah, speaker stereo Dolby Atmos dan kemampuan kalis air serta debu IP68.
Xiaomi 14T di Malaysia dijual pada harga bermula RM1,899 untuk 12/256 GB dan RM2,199 untuk 12/512 GB. Setiap pembelian model asas akan disertakan sekali Redmi Buds 5 Pro dan pengecas 67W Xiaomi HyperCharge berserta kabel.
Untuk Xiaomi 14T Pro pula ia bermula dengan harga RM2,599 untuk 12/256 GB, RM2,999 untuk 12/512 GB dan RM3,499 untuk 12/1000 GB. Setiap pembelian model ini pula disertakan sekali dengan Xiaomi OpenWear Stereo Earphones dan juga pengecas 120W Xiaomi HyperCharge juga dengan kabel.
Xiaomi Malaysia turut memberikan hadiah tambahan bernilai RM1,478 iaitu jaminan tukar skrin 6 bulan, percuma upah baiki selepas waranti tamat, sebulan langganan Google One pelan RM51, 5 bulan langganan Spotify bernilai RM64, sekali guna Dragonpass Airport Exclusive/VIP Lounge, jaminan tambahan 2 tahun, serta pinjaman peranti ketika peranti sedia ada dibaiki. Semua Xiaomi 14T sudah pun boleh dibeli bermula hari ini