Carian
Carian Bing Dengan AI Generatif Dikembangkan Lagi
October 2, 2024 Effi Saharudin

Bing kini mula menawarkan keputusan carian yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) yang mirip ciri AI Overview di Google Search pada bulan Julai lalu. Apabila carian dilakukan, keputusan carian dalam bentuk ringkasan yang dihasilkan AI akan diletakkan di atas sekali dengan pautan lain diletakkan di bawahnya. Hari ini Bing Generative Search telah dikemaskini dengan antaramuka dan paparan maklimat yang lebih menyeluruh.

Di dalam ringkasan akan diletakkan pautan ke beberapa laman yang dirasakan relevan kepada carian yang dilakukan oleh pengguna. Dengan pautan kepada laman web yang relevan, Bing berkata ia akan masih menjana klik untuk pemilik laman sumber maklumat bagi mengekalkan ekosistem sedia ada. Untuk menjana jawapan, Microsoft menggunakan model bahasa raya (LLM) dan juga model bahasa kecil (SLM) bagi memberikan keputusan carian yang lebih tepat.

Carian Bing biasa masih boleh dilakukan dengan memasukkan kata kunci dalam kotak carian. Untuk mendapatkan carian AI generatif, tekan butang Deep Search yang terletak bersebelah kotak carian. Bing akan mengambil masa beberapa saat untuk memproses dan mencari maklumat yang diperlukan oleh pengguna.

Bing berkata masa yang agak lama diambil bagi memastikan maklumat yang betul diberikan. Microsoft tidak mahu isu maklumat tidak tepat diberikan seperti yang berlaku kepada carian AI Overview Google Search.

Komen