Gambar Yang Diambil Dengan Ray-Ban Meta Akan Digunakan Untuk Melatih Model AI
Fahim Zahar
Kaca mata pintar Ray-Ban Meta menjadi trend baharu untuk peranti boleh pakai tahun ini. Ia dimuatkan dengan Meta AI dengan kemampuan integrasi WhatsApp, carian pintar menggunakan AI, set fon kepala dan banyak lagi. Walaupun ia tidak dijual di Malaysia, ia cukup dikenali ramai. Terbaru, Meta telah mengesahkan mengenai apa yang mereka lakukan dengan gambar-gambar yang diambil dengan kaca mata pintar ini.

Menurut Meta, jika pengguna sekadar menggunakan kamera untuk mengambil gambar atau merakam video – semua data tidak akan digunakan untuk tujuan lain. Meta serius dalam menjaga privasi dan keselamatan pengguna. Namun, polisi penggunaan Meta AI berbeza kerana semua imej yang diimbas untuk dianalisa oleh Meta AI boleh digunakan oleh Meta untuk melatih model AI mereka jika diperlukan.

Perkara ini berbeza dengan Facebook yang membolehkan pengguna mohon untuk kandungan dikongsi di Facebook tidak digunakan untuk model AI kerana Ray-Ban Meta tidak menawarkannya. Cara untuk tidak memberi Meta menggunakan imej anda adalah dengan tidak menggunakan Meta AI langsung atau terus tidak menggunakan kaca mata ini. Jika Ray-Ban Meta dijual di Malaysia, adakah anda akan menggunakannya?
[sumber] TechCrunch [/sumber]
[info] Pandang Pertama Ray-Ban Meta – Cermin Mata Pintar Yang Nampak Normal [/info]