Identiti Sebenar Pencipta Bitcoin Didedahkan
Effi Saharudin
Siapan pencipta wang kripto Bitcoin? Jawapan yang akan diterima apabila melakukan carian Wikipedia, Google dan ChatGPT ialah Satoshi Nakamoto. Namun begitu, Satoshi Nakamoto yang menerbitkan kertas putih Bitcoin pada tahun 2008 ialah nama samaran individu yang identitinya menjadi misteri. Tetapi menurut pengarah dokumentari Money Electric: The Bitcoin Mystery di HBO, identiti sebenar Satoshi Nakamoto ialah Peter Todd seorang pembangun perisian dari Kanada.
Identiti sebenar Satoshi Nakamoto dikenalpasti menggunakan pelbagai maklumat atas talian dan melihat sejarah interaksi beliau dengan Peter Todd. Peter Todd adalah antara individu yang mengatakan beliau pernah menghubungi Satoshi Nakamoto sebelum watak misteri ini menghilangkan diri pada tahun 2010.

Sungguhpun begitu, Peter Todd apabila dihubungi mengatakan beliau bukan pencipta Bitcoin walaupun adalah antara individu yang disyaki sejak sekian lama. Selain Todd, Dorian Nakamoto seorang ahli fizik dan Nick Szabo seorang ahli sains komputer juga antara calon-calon turut menafikan mereka adalah Satoshi Nakamoto.
Hanya Craig Wright, seorang warga Australia melakukan pengakuan terbuka beliau ialah pencipta Bitcoin tetapi dakwaan ini telah ditolak oleh mahkamah UK yang memihak kepada pihak Crypto Open Patent Alliance (COPA) yang mengheret beliau ke mahkamah.
Satoshi Nakamoto akan kekal menjadi enigma dalam dunia kripto kerana beliau memulakan demam mata wang kripto global. Beliau juga memegang 1 juta Bitcoin yang kini bernilai RM 267 bilion dengan tiada sebarang aktiviti dikesan pada akaun sejak 2010.