Saya Menjawab Telefon Dan Menonton YouTube Menggunakan Mesin Basuh Samsung
Effi Saharudin
Tajuk di atas bukan typo tetapi adalah pengalaman peribadi saya semalam apabila menggunakan Samsung Bespoke AI Laundry Combo. Nama yang panjang ini ialah untuk sebuah mesin basuh merangkap mesin pengering terbaru keluaran Samsung yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Tiada sistem AI generatif di sini tetapi AI yang digunakan menurut Samsung akan memberikan pengalaman membasuh baju yang bukan sahaja lebih mudah kepada pengguna tetapi juga lebih mesra alam sekitar.
Apa Itu Samsung Bespoke AI Laundry Combo
Samsung Bespoke AI Laundry Combo ialah mesin basuh yang boleh menampung basuhan sehingga 25 kilogram dan juga mengeringkan basuhan sehingga 15 kilogram. Dengan mesin 2-dalam-1, Samsung berkata mereka memenuhi keperluan pengguna moden yang kini tinggal di dalam tempat kediaman dengan ruangan lantai yang terhad.

Sebagai insan yang tinggal di dalam sebuah kondo yang kecil, memang saya hanya mempunyai ruang untuk mesin basuh sahaja walaupun sudah lagi mengimpikan sebuah mesin pengering sejak berkahwin 12 tahun lalu.
Penjimatan ruang ini dilakukan dengan menggabungkan mesin basuh dengan sistem pengering terbina di bahagian atas. Menurut Samsung dengan rekaan elemen pemanas yang lebih efisien, kitaran membasuh dan mengeringkan baju boleh dilakukan dalam asa 98 minit tanpa campur tangan manusia.
Apakah Yang AI Pada Mesin Basuh Ini?
Campur tangan manusia hanyalah terhad kepada proses memasukkan baju ke dalam dram dan kemudian mengeluarkannya selepas proses ini selesai. Sukatan air, cecair sabun pencuci dan cecair pelembut kesemuanya dikawal oleh AI terbina pada mesin. Algoritma yang digunakan adalah berasaskan penggunaan biasa pengguna di rantau Asia. Samsung berkata kerana Bespoke AI Laundry Combo ialah sebuah mesin basuh pintar, algoritma ini akan berubah mengikut tabiat pengguna.

Cecair sabun pencuci dan pelembut diletakkan di bahagian bawah dengan ia mencukupi sehingga 32 kitaran basuhan. Maklumat kandungan cecair-cecair ini dipaparkan dengan jelas pada sebuah skrin sesentuh sebesar 7-inci. Pilihan mengubah jenis basuhan, maklumat penggunaan air, dan penggunaan elektrik juga dipaparkan.

Penggunaan “Nirtangan”, Telefon dan Menonton YouTube
Ok anda kini di perenggan ke lapan dan saya perlu menyentuh mengenai bagaimana saya melakukan panggilan telefon dan menonton video pada Bespoke AI Laundry Combo. Mesin basuh ini meneruskan tradisi Samsung menyertakan ciri yang selama ini tidak pernah ditawarkan pada barangan dapur seperti Samsung Family Hub Plus.
Bespoke AI Laundry Combo boleh dikawal menggunakan arahan suara Bixby. Pertama sekali pintu tab basuhan boleh dibuka menggunakan arahan suara “Hey Bixby open laundry door”. Ini berguna apabila pengguna mengangkat bakul baju yang dibasuh dan tangan tidak bebas membuka pintu secara manual. Pada ketika ini Bixby hanya menyokong arahan suara dalam Bahasa Inggeris dan Korea sahaja.
Kedua saya diperlihatkan demo mengangkat panggilan telefon menggunakan Bespoke AI Laundry Combo. Ini dilakukan sekiranya telefon ditambat menggunakan bluetooth kepada mesin basuh. Apabila panggilan diterima, Bespoke AI Laundry Combo akan berdering dan panggilan telefon boleh diambil menerusinya. Ia mungkin demo yang paling aneh dan unik pernah saya lihat sejak mula menulis mengenai dunia teknologi.
Kemudian saya juga boleh menonton YouTube menerusi skrin Bespoke AI Laundry Combo. Arahan suara diberikan kepada mesin basuh dan aplikasi akan dibuka. Setahu saya hanya YouTube aplikasi yang boleh dipasang pada Bespoke AI Laundry Combo kerana mesin basuh ini tidak mempunyai stor aplikasi.
Hab Peranti Pintar Rumah
Kerana Bespoke AI Laundry Combo ialah sebuah lagi produk di bawah payung SmartThings, tidak mengejutkan juga ia boleh berfungsi sebagai hab rumah pintar yang menyokong ekosistem Samsung, Matter dan Thread. Ia menjadi sebuah lagi hab kawalan selepas ciri yang sama diberikan pada TV, peti sejuk dan speaker pintar keluaran Samsung. Dari sebuah Bespoke AI Laundry Combo pemilik boleh mengawal robot penyedut hampagas, penyaman udara, ketuhar dan pelbagai lagi produk pintar di rumah.

Saya gemar melakukan ramalan teknologi baharu sebagai jenaka menerusi kolum TechTroll beberapa tahun yang lalu. Bespoke AI Laundry Combo terasa seperti sebuah idea luar kotak TechTroll yang direalisasikan “sebab boleh dik”.
Di Malaysia Bespoke AI Laundry Combo dijual pada harga RM14,999 sebuah tetapi kini boleh dipratempah pada harga promosi RM12,999 sahaja.