Google Melakukan Rayuan Berkenaan Arahan Membuka Gedung Aplikasi Kepada Pihak Ketiga
Nazrin
Beberapa hari lalu, kami telah melaporkan bahawa Google telah tewas dalam kes mahkamah berkaitan dengan isu monopoli gedung aplikasi digital, dan kini diarahkan untuk membuka sistem operasi mudah-alih mereka kepada platform pihak ketiga seperti Epic Games, yang bercadang untuk membangunkan gedung aplikasi pada platform Android dan juga iOS.
Tidak lama selepas keputusan tersebut diumumkan, Google telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa mereka akan bertindak untuk merayu untuk keputusan tersebut ditukar kerana beberapa faktor.
Pertama ialah jika kebenaran diberikan untuk syarikat pihak ketiga untuk membuka gedung aplikasi pada platform mereka, Google risau bahawa keselamatan pengguna pada peranti-peranti mereka akan lebih sukar untuk dikawal.

Kedua, Google mengatakan bahawa membenarkan gedung aplikasi pihak ketiga untuk dibuka pada platform mereka secara terbuka akan memberi kesan sampingan kepada pihak pembangun juga, dimana mereka akan perlu memastikan aplikasi-aplikasi mereka boleh dipasarkan pada gedung aplikasi pihak ketiga yang pastinya ada undang-undang dan spesifikasinya tersendiri.
Ironinya di sini ialah Google juga mengatakan bahawa para pengguna peranti dan sistem operasi Android boleh mendapatkan aplikasi daripada pelbagai jenis sumber selain daripada Play Store, seperti ciri side-loading, dan juga gedung aplikasi pihak ketiga dari pembuat peranti seperti Samsung. Malah, Epic Games juga menawarkan permua Fortnite pada Android mereka secara terus melalui laman web mereka sendiri, tanpa perlu melalui Google Play Store.
Isu di sini, pada pendapat saya jika benar terdapat aplikasi-aplikasi yang boleh dimuat-turun tanpa perlu melepasi pengesahan daripada Google Play Store, dan Samsung mempunyai gedung aplikasi mereka sendiri, tiada sebab mengapa Epic Games juga tidak boleh membuka gedung mereka juga.
Rayuan Google dijangka akan didengari, tetapi samada mereka boleh meyakinkan hakim untuk mengubah keputusan ini tidak diketahui lagi, khususnya apabila kerajaan Amerika Syarikat sendiri dilihat mahu memecahkan monopoli Google di alam digital dan atas-talian.
[sumber]Google Blog[/sumber]