Oppo Memperlihatkan Butang “Camera Control” Sendiri Pada Find X8
Fahim Zahar
Keluarga iPhone 16 yang dilancarkan baru-baru ini hadir dengan satu butang fizikal baharu, iaitu Camera Control. Ia merupakan butang pengatup kamera yang turut boleh dikawal dengan sentuhan dan kawalan gestur. Terbaru, Oppo telah memperlihatkan butang pengatup mereka tersendiri pada Find X8.
Menariknya, pada Find X8 – butang ini turut berfungsi seakan Camera Control. Ia bukan sahaja boleh tekan dua kali untuk mengakses kamera, tetapi turut menyokong kawalan gestur untuk zum serta tekan untuk mengambil gambar. Keunikan pada strategi Oppo adalah, Camera Control mereka boleh digunakan di dalam air bagi menyelesaikan masalah telefon dengan IP68 yang tidak mempunyai skrin responsif ketika basah.

Buat masa ini butiran pelancaran masih tidak jelas, selain ia akan dilancarkan di China pada 24 Oktober akan datang. Peranti ini turut dijangka akan dilancarkan di Malaysia kerana sudah pun tersenarai di dalam laman SIRIM.
[sumber] 9to5Google [/sumber]