Realme 13 Pro+ 5G dilancarkan hari ini untuk pasaran global dengan ia adalah peranti kemas kini untuk Realme 12 Pro+ 5G yang dilancarkan hanya Februari lalu. Di atas kertas perbezaan antara kedua-dua peranti tidak begitu ketara. Ini ialah ulasan untuk Realme 13 Pro+ 5G bagi memudahkan anda melakukan pilihan yang paling tepat.
Spesifikasi
Realme 13 + 5G | |
---|---|
Skrin | 6.67″ AMOLED, FHD+, 120Hz |
Pemproses | Dimensity 7300 Energy (4nm) 4x 2.5 GHz Cortex-A78 4x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G615 MC2 |
RAM | 12 GB LPDDR4X 14 GB Maya |
Storan | 256/512 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 50MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 2MP, f/2.4 (Kedalaman) |
Kamera Depan | 16MP, f/2.4 |
Bateri | 5000mAh 80W (Berwayar) |
Sim/Telefoni | Dwi-SIM 5G |
Audio | Speaker Stereo |
Rangkaian | WiFi 6, Bluetooth 5.4 NFC |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | IP65 |
Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin Imbasan wajah |
Harga Jualan | RM1399 (12/256 GB) RM1799 (12/512 GB) |
Skrin
Skrin adalah sebesar 6.67″ AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz tetapi bukan dari jenis LTPO yang rata sepenuhnya. Setiap sentuhan dikesan dengan baik serta tidak ada kesan masa pendam kelihatan. Walaupun beroperasi dengan terang di bawah cahaya matahari terik, sayang sekali skrin tidak menyokong sebarang format HDR pada aplikasi Prime Video, Netflix atau Disney+ Hotstar. Ini ialah isu sama yang saya hadapi dengan Realme 13 Pro+ sebelum ini.
Biometri
Sistem pengimbas cap jari bawah skrin adalah dari jenis optikal dengan lokasinya sedikit jauh ke bawah sehingga membuatkan proses menyahkunci peranti menjadi sedikit leceh. Walaupun sedikit melecehkan, ia adalah pengimbas cap jari yang sangat pantas. Terdapat juga sistem imbasan wajah yang menyahkunci lebih pantas dan tidak begitu melecehkan. Saya merasakan ini ialah panel standard yang digunakan Realme kerana semua produk OLED mereka mempunyai lokasi pengimbas cap jari yang terletak agak rendah.
Rekaan
Rekaan adalah sama seperti siri Realme 13 Pro cuma sisi yang jauh lebih rata dan tanpa pilihan panel belakang kulit vegan. Keseluruhan panel belakang diperbuat daripada logam dengan kemasan dwi-tona yang nampak premium pada peranti warna emas yang diulas.
Pada sisi kanan diletakkan butang laras audio dan juga butang kuasa. Terdapat sebuah kekisi speaker di atas dan bawah yang memberikan pengalaman audio stereo yang seimbang. Sementara itu di bawah juga terdapat port pengecasan USB-C dan juga talam SIM yang menyokong dua SIM bersaiz nano serta kad mikro SD sehingga 1TB. Di bahagian atas disertakan juga bicu audio 3.5mm tetapi tiada pemancar IR.
Butang yang digunakan terasa tegap dan sedap ditekan. Bonggol kamera pada panel belakang berbentuk bulat dengan ia menempatkan dua kamera dan lampu flash. Jangan terpedaya kerana walaupun nampak seperti trikamera seakan 13 Pro, 13+ hanya dilengkapi dwi kamera menggabungkan lensa sudut lebar 50MP dengan OIS dan sensor kedalaman 2MP. Ini dipadankan dengan sensor 16MP di hadapan. Walaupun bonggol tidak tebal ia masih besar membuatkan peranti boleh diletakkan agak rata di atas meja.
Kemasan logam di belakang membuatkan peranti nampak agak premium dan amat selesa di dalam tangan. Ia juga mengalirkan haba lebih baik jika dibandingkan dengan panel kaca atau vegan. Saya rasakan panel ini juga tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Kerangka silikon yang diberikan sedikit sebanyak menyelesaikan sebarang isu kekotoran jangka panjang.
Peranti masih mempunyai sokongan NFC dan juga kemampuan kalis air IP65. Menerusi sistem NFC tiada isu untuk menambah nilai kad TnG NFC dan juga menggunakan telefon sebagai kunci digital menggantikan kad fizikal untuk masuk ke dalam pejabat. Kenapa ciri ini tidak diberikan pada lebih banyak peranti moden kerana ia membuatkan saya tidak lagi perlu risau jika tertinggal kad akses pintu di rumah sebelum ke pejabat.
Penggunaan – Realme UI 5.0
Realme UI 5.0 adalah berasaskan Android 14 maka terdapat banyak ciri standard disertakan seperti multi tingkap, mod kanak-kanak, gestur dan mod penggunaan satu tangan. Ini ialah versi sistem operasi yang sama dengan Realme 13 Pro+ 5G dan oleh itu pada pendapat saya kedua-dua peranti menawarkan pengalaman yang juga sama.
Antaramuka Realme UI 5.0 adalah mirip dengan ColorOS kerana ia minimalis, mudah difahami dan beroperasi dengan lancar walaupun 13 Pro+ sekadar dilengkapi pemproses kelas pertengahan yang tidak begitu berkuasa. Dimensity 7300 Energy yang digunakan adalah sama konfigurasi teras CPU (4x Cortex A78 dan 4x Cortex A55) dengan Snapdragon 7s Gen 2 yang digunakan pada 13 Pro+ 5G.
Model yang saya ulas dilengkapi 12GB RAM LPDDR4X yang boleh ditingkatkan sehingga 26GB RAM menggunakan mod memori maya. Saiz RAM 12GB pada hemat saya adalah lebih daripada memadai untuk pelbagai aplikasi lazim. Saya tidak menyedari sebarang isu tatalan tidak lancar, aplikasi lambat dilancarkan dan aplikasi perlu disegar semula dengan kerap.
Kerana kita kini di zaman kecerdasan buatan (AI), terdapat beberapa ciri pintar disertakan. Pertama sekali ialah AI Smart Loop yang memendekkan proses melakukan beberapa tugasan yang remeh. Sebagai contoh gambar yang disunting tadi boleh terus dikongsi ke WhatsApp atau Gmail dengan hanya menekannya dalam aplikasi Photos dan kemudian menariknya ke sisi masuk ke dalam antaramuka AI Smart Loop. Proses berkongsi imej adalah semudah melalukan aksi drag & drop.
Kemudian jika teks alamat diterima, tekan teks yang diterima dan tarik ke ikon Google Maps dalam AI Smart Loop. Terdapat slot untuk lima aplikasi kegemaran dalam AI Smart Loop. Jika aplikasi lain ingin digunakan, terdapat roda yang berputar membolehkan semua aplikasi terpasang pada telefon digunakan dalam AI Smart Loop.
Aneh sekali ciri AI Smart Removal tidak diberikan sekali. Ini ialah ciri menyunting gambar secara automatik di dalam aplikasi Realme Photos. Maka di sini perbezaan terletak pada ciri AI yang lebih terhad berbanding model 13 Pro yang menyokong ciri suntingan AI ini.
Penanda Aras
Mari lihat prestasi cip Snapdragon 7s Gen 2 pada Realme 13 Pro+ 5G. Ia sebuah cip kelas pertengahan yang dilengkapi empat teras Cortex-A78 dan Cortex-A55 yang sudah agak berusia serta GPU Adreno 710. Saya bandingkan cip ini dengan Dimensity 7300 (CMF Phone 1), Dimensity 7020 (Infinix Note 40 Pro) dan Dimensity 8200 Ultimate (Infinix GT 20 Pro).
AnTuTu 3D
- Realme 13+ 5G – 741,709
- Realme 13 Pro+ 5G – 613,504
- CMF Phone 1 – 644,913
- Infinix Note 40 Pro – 450,320
- Infinix GT 20 Pro – 933,015
Geekbench 6
- Realme 13+ 5G – 621/594/1095
- Realme 13 Pro+ 5G – 327/342/699
- CMF Phone 1 – 1044/2927
- Infinix Note 40 Pro – 1120/3338
- Infinix GT 20 Pro – 1244/3516
Geekbench AI
- Realme 13+ 5G – 921/2127
- Realme 13 Pro+ 5G – 899/2763
- CMF Phone 1 – N/A
- Infinix Note 40 Pro – N/A
- Infinix GT 20 Pro – N/A
3DMark Wild Life Extreme
- Realme 13+ 5G – 855
- Realme 13 Pro+ 5G – 809
- CMF Phone 1 – 851
- Infinix Note 40 Pro – N/A
- Infinix GT 20 Pro – 1736
Prestasi menjalankan aplikasi lazim adalah amat memuaskan dengan ia boleh dibuka dengan pantas serta tidak tersekat-sekat. Memainkan aplikasi permainan 3D ringkas seperti Temple Run 2 juga boleh dilakukan tanpa sebarang isu. Realme 13+ 5G ialah peranti rasmi untuk pertandingan Mobile Legends dan prestasi permainan ini adalah amat baik. Cuma permainan dengan grafik lebih berat seperti COD Mobile perlu dimainkan pada tetapan sederhana.
Yang menarik di sini ialah skor yang dicatatkan 13+ 5G lebih tinggi (kecuali markah Geekbench 6 multi teras) berbanding 13 Pro+ 5G. Ini menyebabkan tiadanya ciri AI Eraser pada 13+ semakin aneh. Jelas kemampuan NPU pada peranti lebih tinggi berbanding 13 Pro+ 5G.
Kamera
Kalau dilihat pada spesifikasi kamera, boleh dilihat mengapa 13+ 5G dijual pada harga lebih mampu milik kerana sekadar dilengkapi satu kamera sahaja sebenarnya. Lensa sudut lebar dipadankan dengan sensor 50MP Sony LYT-600 dengan OIS dan sensor kedalaman 2MP. Kamera swafoto pula sebesar 16MP yang diletakkan dalam lubang skrin depan. Tiada lensa ultra sudut lebar atau zum disediakan.
Dalam situasi pencahayaan yang baik gambar yang diambil memuaskan cuma saya rasakan agak gelap berbanding situasi sebenar. Secara konsisten gambar lebih malap dengan dalam mod malam sekalipun imej yang ditangkap tidak begitu jelas. Di sini 13 Pro+ 5G mempunyai kemampuan fotografi yang jauh lebih baik.
Tanpa lensa telefoto yang khusus, kemampuan zum peranti ini adalah agak lemah. Gambar hanya nampak elok sehingga 2X. Selepas tahap zum ini gambar yang diambil kelihatan seperti lukisan air yang dijana oleh AI generatif.
Telefoni, WiFi dan GPS
Prestasi selular 5G adalah amat baik serta WiFi yang pantas sekiranya anda mempunyai modem WiFi 6 di rumah. Prestasi GPS juga tidak kurang baiknya dengan lokasi dalam aplikasi seperti Waze dan Google Maps dapat dikesan dalam masa beberapa saat sahaja.
Audio
Dengan kedua-dua speaker menembak ke sisi, audio yang dilontarkan adalah setanding dengan model 13 Pro+. Audio kedengaran seimbang kerana konfigurasi speaker yang digunakan ini cuma kedengaran agak “nipis” pada tetapan audio lebih lantang. Sistem audio OReality Audio sahaja diberikan tanpa sokongan Dolby Atmos. Pada bahagian atas disertakan sebuah bicu audio 3.5mm membolehkan kabel AUX atau aksesori audio lain disambung.
Bateri
Bateri 5000mAh adalah cukup besar untuk peranti bertahan sepanjang hari. Jika kabel dicabut pada jam 7 pagi, ia boleh bertahan sehingga jam 10 malam dalam penggunaan yang sederhana. Pengecasan semula bateri boleh dilakukan dalam masa sekitar 40 minit yang adalah amat pantas untuk sebuah telefon kelas pertengahan permulaan. Pengecas 80W disertakan dengan setiap pembelian Realme 13+ 5G.
Perbandingan
Realme 13+ 5G | Nothing Phone (2a) Plus | Vivo V40 |
6.67″ AMOLED, 1080 x 2400 , 120Hz, 2000 nits, | 6.7″ AMOLED, 1080 x 2412, 120Hz, HDR10+ | 6.78″ AMOLED, 1260 x 2800, 120Hz, HDR10+ |
Dimensity 7300 Energy (4nm) 4x 2.5 GHz Cortex-A78 4x 2.0 GHz Cortex-A55 | Dimensity 7350 Pro (4nm) 2x 3.0 GHz Cortex-A715 6x 2.0 GHz Cortex-A510 | Snapdragon 7 Gen 3 (4nm) 1x 2.63 GHz Cortex-A715 3x 2.4 GHz Cortex-A715 4x 1.8 GHz Cortex-A510 |
Mali-G615 MC2 | Mali G610 MC4 | Adreno 720 |
12 GB LPDDR4X 14 GB Maya | 8/12 GB LPDDR5 | 12 GB LPDDR4X |
256/512 GB UFS 3.1 | 256 GB UFS 3.1 | 256/512 GB UFS 2.2 |
Kamera Utama 50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 2MP f/2.4 (Kedalaman) | Kamera Utama 50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.2 (Ultra Lebar) | Kamera Utama 50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.0 (Ultra Lebar) Lensa Zeiss |
Kamera Hadapan 16MP, f/2.4 | Kamera Hadapan 50MP, f/2.2 | Kamera Hadapan 50 MP, f/2.0 |
IP65 | IP54 | IP68 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5000 mAh (Berwayar 80W) | 5000 mAh (Berwayar 50W) | 5500 mAh (Berwayar 80W) |
RM1,399 (12/256 GB) RM1,799 (12/512 GB) | RM1,999 (12/256 GB) | RM1999 (12/256 GB) RM2399 (12/512 GB) |
Apa Ada Dalam Kotak
Berikut ialah komponen yang disertakan dengan setiap pembelian.
- 1x Realme 13+ 5G
- 1x Kerangka pelindung plastik
- 1x Kabel USB-A ke USB-C.
- 1x Pengecas USB-A 80W
- 1x Buku panduan dan keselamatan.
- 1x Pin SIM
Kesimpulan
Realme 13+ 5G yang walaupun dijual pada harga lebih mampu milik berbanding 13 Pro+, dilengkapi pemproses yang lebih berkuasa. Ia tiada isu menjalankan pelbagai aplikasi lazim dan juga permua kelas pertengahan seperti Mobile Legends. Prestasi bateri juga memuaskan dibantu oleh penegcasan yang pantas.
Kelemahan peranti ini terletak pada sistem kamera yang tidak cukup berkemampuan. Zum pasca 2X akan mula kelihatan seperti lukisan air. Seterusnya hanya satu lensa sudut lebar sahaja diberikan sedangkan kini lensa ultra sudut lebar sudah dianggap sebagai satu keperluan.
Di Malaysia Realme 13+ 5G dijual pada harga RM1399 untuk 12/256GB dan meningkat ke RM1799 untuk 12/512GB. Saya melihat peranti ini adalah pilihan yang agak menarik bagi mereka yang ingin mencari peranti gaming berkemampuan sederhana pada harga yang mampu milik.
PRO
- Rekaan menarik dengan panel logam terasa premium.
- Skrin yang cantik, responsif dan pantas.
- Bateri tahan lama dan menyokong pengecasan pantas 80W.
- Perlindungan kalis air IP65.
- Bicu audio 3.5mm.
KONTRA
- Kemampuan kamera adalah tidak begitu memuaskan.
- Tiada sokongan HDR.
- Beberapa ciri AI tidak disertakan.