Kamera Aksi Insta360 Baharu Dijadualkan Tiba Minggu Hadapan
Amy Maizuraa
Insta360 akan melancarkan kamera aksi baharu pada 22 Oktober 2024. Ia didedahkan oleh syarikat itu sendiri melalui perkongsian baharu di media sosial dan laman web rasmi. Meskipun tidak menyebut nama, namun ramai membuat andaian produk dimaksudkan adalah Ace Pro 2 memandangkan turut pernah tertiris sebelum ini.
Lebih menguatkan spekulasi itu apabila produk yang diperlihatkan mempunyai persamaan dengan imej tular sebelum ini. Butiran lanjut tidak diperincikan mengenai spesifikasi utama, namun video ringkas dikongsi menunjukkan beberapa tumpuan penting. Paling jelas tentulah rekabentuk yang sama dengan Insta 360 Ace Pro sebelumnya. Dalam masa sama diyakini tahan lasak dalam pelbagai keadaan serta suhu sama ada panas atau sejuk. Sekali lagi kamera itu dipercayai mempunyai lensa yang dibangunkan dengan kerjasama Leica. Skrin kecil disertakan juga masih memaparkan maklumat mengenai ciri rakaman video.

Sekadar makluman, Ace Pro sebelum ini dilengkapi sensor 1/1.3″ 48MP dengan kemampuan rakaman video 8K. Selain itu mempunyai piawaian kalis air sehingga kedalaman 10 meter dan 60 meter apabila menggunakan aksesori kerangka menyelam. Bagaimana pula dengan penawaran baharu ini? Nantikan pelancaran rasmi yang bakal mendedahkan keseluruhan ciri dan fungsi diberikan pada produk.