Pelanggan HBO Go Akan Menikmati Harga Langganan Sedia Ada Ketika Beralih Kepad MAX
Aman
MAX sedia mengumumkan akan melancarkan penawaran mereka secara rasminya pada 19 November 2024 kelak untuk pengguna Malaysia. Selari dengannya juga, kini pihak HBO Go telah mula menghantar emel kepada pelanggan sedia ada, sekaligus berkongsi lanjut berkenaan dengan perubahan berkenaan.
Max akan meneruskan penawaran kandungan dari francais HBO, Harry Potter, DC Universe, Cartoon Network, Warner Bros., Discovery dan banyak lagi. Bermula 19 November kelak, pengguna HBO Go sedia ada boleh memuat-turun aplikasi Max melalui App Store dan Play Store, serta log masuk menggunakan akaun HBO Go sedia ada.
Pada masa yang sama, ia turut ditekankan yang mana buat masa ini, tiada sebarang perubahan harga langganan sekiranya anda langgan terus melalui web HBO Go atau aplikasi HBO Go sebelum ini. Namun, sekiranya anda langgan melalui penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan lain-lain, perkara berkenaan perlu disemak dengan penyedia tersebut.
Walaubagaimanapun, ia tidak diketahui pelan apakah yang akan dinikmati oleh pelanggan HBO Go pada harga langganan sedia ada. Max akan ditawarkan dalam dua pilihan – iaitu Standard pada resolusi 1080p dan menyokong penstriman pada dua peranti serentak, sementara Ultimate pula menawarkan resolusi 4K, dan boleh distrim pada 4 peranti serentak. Disamping itu, beberapa penyedia perkhidmatan turut akan menawarkan pelan Max Mobile yang menawarkan penstriman pada satu peranti (telefon atau tablet), pada resolusi 720p.
Harga langganan untuk Max dijangka akan dikongsikan tidak lama lagi. Pada hari ini, untuk HBO Go, ia ditawarkan pada harga langganan RM34.90 sebulan atau RM69.90 untuk tiga bulan.