Samsung dan LG sudah lama menyokong ciri kawalan peranti internet benda di bawah ekosistem sama terus melalui televisyen masing-masing. Ciri ini turut popular dengan pengeluar televisyen dari China. Terbaru, sokongan natif untuk mengawal peranti internet benda di bawah Google Home telah diberikan kepada Google TV.
Ia kali pertama diperkenalkan melalui Google TV Streamer. Ciri yang dikenali sebagai Home Panel ini mula diedarkan kepada peranti Google TV lain. Home panel adalah panel khas Google Home untuk televisyen bagi memudahkan pengguna mengawal peranti internet benda seperti kipas, lampu, langsir, speaker dan banyak lagi terus melalui TV sama ada dengan arahan kepada Google Assistant atau dengan alat kawalan jauh.
Setakat ini, televisyen TCL dan kotak TV Xiaomi antara yang telah disahkan menerima kemas kini ini. Menurut sumber, ciri ini sepatutnya disokong pada kebanyakan Google TV dengan hanya menyemak kemas kini aplikasi Google di Play Store.