iPad Mini 2024 Turut Dilengkapi Dengan Memori 8GB RAM
Fahim Zahar
Tahun ini nampaknya kebanyakan memori peranti Apple dinaiktaraf dengan jumlah yang lebih banyak. Perkara ini turut dijangka akan berterusan sehingga peranti di masa akan datang. Pertama sekali adalah kesemua iPhone 16 yang dilengkapi dengan memori 8GB RAM. Kedua adalah iPhone SE 2025 juga dijangka akan menyokong memori yang sama dan terbaru memori iPad Mini pula telah didedahkan.

iPad Mini 2024 yang baru dilancarkan pada minggu lepas dengan cip A17 Pro, sokongan Apple Pencil Pro, turut menyokong integrasi Apple Intelligence dan harga bermula RM2,199 ini dilaporkan menggunakan memori 8GB RAM. Dengan jumlah memori yang lebih besar, iPad Mini yang kecil ini akan menjadi antara tablet kompak paling berkuasa di pasaran untuk produktiviti yang efisien serta ciri AI diproses dari dalam peranti.

Apa-apa pun, 8GB RAM masih kecil jika ingin dibandingkan dengan tablet-tablet Android dalam kelas sama. Pengguna produk Apple mungkin akan mengatakan yang iOS/iPadOS tidak memerlukan jumlah RAM yang banyak, tetapi hakikatnya dengan kos komponen semakin murah – jumlah memori besar hanya akan menguntungkan pengguna.
[sumber] Geekbench [/sumber]