Ciri Alat Bantuan Pendengaran Pada Apple AirPods Pro 2 Terhad Di 2 Negara Terlebih Dahulu
Fahim Zahar
Bulan lepas, Apple telah mengumumkan yang set fon telinga mereka AirPods Pro 2 boleh diubah menjadi alat bantuan pendengaran. Lebih menarik, dengan hanya kemas kini perisian TWS ini boleh terus menjadi alat bantuan pendengaran gred klinik. Ketika ciri ini diumumkan, ia akan ditawarkan kepada lebih 100 negara tetapi untuk kemas kini stabil iOS 18.1 yang akan tiba tidak lama lagi – ia akan terhad kepada 2 negara terlebih dahulu.

Dua negara ini adalah Amerika Syarikat dan Kanada. Ini kerana Apple memerlukan kelulusan kementerian kesihatan setiap negara dan FDA telah pun meluluskannya. Terdapat tiga ciri yang akan diberikan iaitu Hearing Test, Hearing Aid dan Hearing Protection. Mod alat bantuan pendengaran ini turut boleh digunakan bersama-sama dengan peranti Mac dengan macOS Sequoia.

Menurut Apple, untuk menentukan anda perlu atau tidak mengaktifkan ciri ini anda hanya perlu mengambil ujian 5 minit untuk menganalisa sama ada tahap pendengaran telinga masih lagi baik ataupun sudah mula terjejas. Hasil ujian ini kemudiannya boleh dikongsi dengan doktor bagi mendapatkan pendapat lebih profesional.
[sumber] Apple [/sumber]