Perlukan tempahan tiket penerbangan? Biarkan sistem AI pada telefon pintar baharu siri Honor Magic7 melakukannya. Hal ini dikatakan bahawa telefon mercu baharu tersebut akan disertakan dengan ciri AI baharu termasuk Autopilot AI (AI Agent). Ia telah diumumkan di sidang kemuncak teknologi tahunan Qualcomm 2024 di Maui, Hawaii pada hari ini.
Dengan menggunakan pendekatan yang sama seperti model AI Large Action Model atau LAM oleh Motorola, AutoPilot AI (AI Agent) turut boleh digunakan untuk pelbagai tujuan seperti penjadualan, penjejakan tugas dan banyak lagi. Sekaligus bantu memudahkan pengguna mengatur dan mengendalikan tugasan harian dengan lebih baik.
Seperti yang dijelaskan oleh Honor, AutoPilot AI (AI Agent) akan mempelajari perilaku pengguna kemudian mengemukakan cadangan yang terbaik. Sebagai contoh, pengguna boleh meminta sistem AI tersebut untuk memesan kopi, dan membuat keputusan yang sepadan dengan pilihan pengguna itu sendiri.
Selain daripada itu, ia turut boleh digunakan untuk pelbagai tujuan seperti tempahan tiket, penjadualan kalendar, pengurusan pemberitahuan, pemindahan fail merentas aplikasi dan banyak lagi. Di samping dikatakan boleh mencari dan membatalkan langganan yang tidak diingini pada sebarang aplikasi disokong dengan hanya menggunakan arahan suara.
Honor menekankan bahawa AutoPilot AI (AI Agent) pada siri Magic7 turut mengutamakan privasi. Sebagai tambahan, siri Magic7 juga akan menyokong AI generatif yang dikuasakan oleh pengkomputeran NPU bertujuan untuk meningkatkan pengalaman permainan pada peranti.
Honor menerangkan bahawa ia mampu mengurangkan bebanan pada GPU untuk pengurusan haba dan prestasi yang lebih baik secara keseluruhan. Ciri AI baharu ini akan didatangkan secara terus dalam sistem operasi MagicOS 9.0 baharu yang akan diumumkan pada 23 Oktober 2024.