Motorola Memperlihatkan Produk Konsep Yang Menjadikan Peranti AI Fizikal Tidak Relevan
Fahim Zahar
Peranti fizikal AI ternyata semakin lama semakin tidak relevan, walaupun konsepnya masih di peringkat awal. Ini kerana ciri AI generatif dengan pemprosesan dari dalam peranti membuktikan peranti khas untuk AI tidak diperlukan. Terbaru, Motorola telah hadir dengan konsep yang terus membuatkan peranti fizikal AI tidak lagi relevan.
Humane A.I. Pin dan Rabbit R1 setakat ini tidak lagi menarik perhatian ramai. Dua peranti ini hanya menawarkan janji kosong berbanding konsep penggunaan futuristik yang dijanjikan. Ketika acara Lenovo Tech World ’24, model AI Large Action Model atau LAM yang sama pada Rabbit R1 diperlihatkan boleh digunakan pada Razr dan Razr+. Dengan LAM, AI di dalam telefon akan menjadi pembantu peribadi digital sebenar kerana pengguna boleh menggunakan peranti tanpa disentuh dan hanya dengan arahan suara.

Demo yang Motorola tunjukkan adalah, pengguna menggunakan arahan suara untuk menempah minuman ais Americano melalui aplikasi francais kopi popular. Semua aksi dari memilih minuman, mencari lokasi terdekat dan melakukan pembayaran akan dilakukan oleh AI. Pengguna kemudian akan menerima maklum balas AI yang tempahan sedia diambil dalam tempoh tertentu. Melakukan tempahan makanan atau seru-pandu melalui aplikasi seperti Uber turut disokong.

Buat masa ini, LAM di dalam Motorola Razr dan Razr+ hanyalah konsep dan tidak diumumkan sama ada akan menjadi realiti ataupun tidak. Cuma, demonstrasi Motorola ini membuktikan yang peranti fizikal AI tidak relevan. Jika A.I Pin dan Rabbit R1 tidak lagi menerima sambutan, adakah peranti OpenAI dengan rekaan Jony Ive nanti turut tidak relevan? Sama-sama kita nantikan.
[sumber] Motorola [/sumber]