Cip AI Huawei Didapati Masih Menggunakan Teknologi TSMC
Effi Saharudin
Teknologi cip TSMC didapati telah digunakan pada cip kecerdasan buatan (AI) Huawei Ascend 910B. Ini menunjukkan syarikat gergasi telekomunikasi China ini masih mampu memintas halangan teknologi yang dikenakan Amerika Syarikat ke atas mereka sejak 2019. TSMC telah dihubungi oleh TechnInsight yang menemukan komponen buatan TSCM pada Ascend 910B.

Disebabkan penemuan ini, TSMC telah melaporkan insiden ini kepada Jabatan Perdagangan A.S bagi mengelakkan mereka dituduh memintas halangan yang dikenakan. Selepas Huawei dimasukkan ke dalam senarai entiti, mereka tidak lagi dapat menggunakan perkhidmatan TSMC bagi menghasilkan cip Ascend dan Kirin yang direka sendiri kerana wujudnya teknologi milik Amerika Syarikat. Huawei telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan mereka tidak lagi menggunakan perkhidmatan TSMC bagi menghasilkan cip sejak 2020.
Malahan tahun ini ASML juga tidak akan lagi menjual alat ganti serta menawarkan bantuan teknikal ke atas mesin-mesin lama keluaran mereka di China bagi mengelakkan ia diubahsuai untuk menghasilkan cip yang lebih terkini.
Sekatan teknologi yang dikenakan ke atas Huawei dilihat sebagai usaha untuk mengelakkan China memintas Amerika Syarikat sebagai peneraju teknologi dunia. Selain itu syarikat China turut dihalang daripada membeli cip AI terkini daripada NVIDIA dan AMD.
[sumber] Reuters [/sumber]