Carian
Huawei Mengurangkan Pengeluaran Mate 60 Demi Menghasilkan Cip AI Ascend
February 6, 2024 Fahim Zahar

Huawei Mate 60, Mate 60 Pro dan Mate 60 Pro+ adalah siri peranti mercu baharu Huawei. Kesemua peranti ini dijana dengan cip Kirin 9000s yang direka sendiri berasaskan teknologi 7nm. Siri Mate 60 mendapat sambutan yang hangat di China sehingga berjaya mengembalikan Huawei dalam senarai lima pengeluar peranti terbesar pada Q4 2024. Namun begitu Reuters melaporkan pengeluarannya kini tidak diutamakan bagi memberikan laluan kepada penghasilan cip AI Ascend yang mempunyai permintaan lebih tinggi di China.

Salah satu kilang Huawei yang mengeluarkan Mate 60 tidak mempunyai jumlah produksi yang tinggi. Oleh yang demikian, kilang ini akan diubah untuk mengeluarkan cip Kirin dan cip AI Ascend 910B. Permintaan cip AI Huawei tinggi berikutan halangan mengimport cip NVIDIA dan AMD ke China oleh Amerika Syarikat. Baidu misalnya sudah mula menggunakan cip Ascend sebagai ganti kepada cip A100 bagi melatih model AI mereka.

Walaupun China mempunyai Baidu, sistem AI mereka dikatakan masih tidak setanding ChatGPT dengan GTP-4 atau Google Bard dengan Gemini. Mungkin dengan pengeluaran cip Ascend yang semakin tinggi, lebih banyak perkhidmatan AI China yang lebih berkuasa akan tiba ke pasaran?

Komen