Model Baharu Apple Magic Mouse, Trackpad dan Keyboard Baharu Mungkin Dilancarkan Kelak
Effi Saharudin
Apple Magic Mouse, Magic Trackpad, dan Magic Keyboard adalah tiga produk yang sudah lama tidak dikemas kini. Magic Mouse pula ialah produk yang sudah lama menerima kritikan kerana tidak boleh digunakan semasa dicaj kerana lubang pengecas diletakkan pada bahagian bawah. Menurut laporan MacRumors, ketiga-tiga produk ini akan dikemaskini dalam masa terdekat.

Dalam kod terkini iOS 18.1 RC, telah ditemukan nama produk baharu Magic Mouse 2, Magic Trackpad 2, dan beberapa lagi model Magic Keyboard. Besar kemungkinan produk dikemaskini bagi membawakan sokongan port USB-C menggantikan port Lightning untuk memenuhi keperluan EU mengenai penggunaan kabel pengecasan USB-C.
Diharap perubahan yang besar dilakukan pada ketiga-tiga produk yang telah lama tidak menerima nafas baharu. Kami tidak mahu melihat sekadar perubahan port pengecasan dilakukan seperti yang berlaku pada AirPods Max bulan lalu.