Sehingga hari ini, Samsung kerap dilaporkan yang jualan telefon lipat mereka masih tidak memberangsangkan walaupun mereka adalah antara yang terawal di pasaran dan juga satu-satunya yang menawarkan peranti seperti ini dengan perisian yang paling matang. Walaupun begitu, tahun 2025 dijangkakan perniagaan peranti dengan skrin lipat ini akan meningkat sehingga 10%.
Pada asalnya, Samsung dilaporkan ingin menyelesaikan masalah ini dengan menawarkan Galaxy Z Fold versi mampu milik untuk bersaing di China. Namun, laporan terkini mendedahkan yang Samsung ingin kekal fokus kepada Galaxy Z Fold sebagai peranti kategori premium. Salah satu faktor adalah kebanyakan pelanggan yang membeli Z Fold baharu adalah pengguna Z Fold lama. Akan tetapi, tahun 2025 Samsung dikatakan ingin menawarkan telefon dengan skrin tri-lipat dan juga tri-katup.
Ini bermakna, Galaxy Z Flip dan Galaxy Z Fold pada tahun 2025 akan mempunyai tiga skrin dengan rekaan boleh lipat dua kali. Samsung secara tidak langsung akan bersaing dengan Huawei Mate XT yang tengah tular sekarang. Sumber menyatakan yang bekalan skrin untuk peranti ini telah sedia untuk dipasarkan tetapi peranti akhir yang akan menggunakannya masih belum disahkan.