Sudah lama kita mendengar yang Samsung mungkin akan hadir dengan fon lipat Galaxy Z Fold yang mampu milik. Namun sehingga hari ini masih tidak kelihatan dan Galaxy Z Fold6 Special Edition yang telah dilancarkan adalah model lebih premium berbanding Z Fold6 biasa. Terbaru, Samsung telah mendedahkan yang mereka tiada hasrat untuk menawarkan Galaxy Z Fold versi mampu milik.
Dalam perkongsian Samsung bersama penulis SisaJournal dari Korea Selatan, Samsung Galaxy Z Fold6 SE dikatakan adalah pilihan lebih premium yang boleh dipilih pengguna mengikut citarasa masing-masing. Setakat ini Samsung tiada perancangan untuk menawarkan fon lipat lain dengan harga lebih mampu milik.
Kenapa? Samsung juga pernah berkongsi yang kebanyakan pengguna Galaxy Z Fold adalah pengguna dari generasi lama dan bukannya pengguna telefon biasa. Walaupun ini adalah perkara bagus kerana menerima pelanggan berulang, tetapi ia memberi kesan kepada perniagaan Samsung yang sukar mengembangkan fon lipat ke pasaran lebih meluas seperti China. Galaxy Z Fold6 dijual pada harga mencapai RM9,099. Di Korea, Galaxy Z Fold6 SE dijual pada harga KRW 2,789,600 iaitu sekitar RM8,763.