Apple Malaysia Kini Mempunyai 15 Produk Yang Masih Dengan Sambungan Lightning
Fahim Zahar
Malam tadi, bersama-sama dengan pelancaran iMac M4 – beberapa aksesori Apple turut dikemaskini dengan sambungan USB-C iaitu Apple Magic Trackpad, Keyboard dan Mouse. Ini membuatkan semua produk utama Apple telah dikemaskini dengan sambungan bersifat universal dan bukan lagi Lightning. Walaupun begitu, Apple masih tidak melupakan pengguna yang masih menggunakan sambungan Lightning, kerana di Malaysia Apple masih menjual 15 produk dan aksesori berasaskan sambungan ini.

iPhone 14
Semua peranti Apple kini telah dikemaskini dengan sambungan USB-C, ini termasuk dengan iPhone generasi baharu, iPad model asas dan Mini, MacBook dan juga peranti Mac lain. Walaupun begitu, masih ada dua model iPhone yang dijual di Malaysia dengan sambungan Lightning.

iPhone 14
- iPhone 14
- 128GB – RM2,999
- 256GB – RM3,499
- 512GB – RM4,499
- iPhone 14 Plus
- 128GB RM3,499
- 256GB RM3,999
- 512GB RM4,999

iPhone SE
Walaupun iPhone SE sudah lama tidak dikemaskini, ia masih dijual di Apple Store. iPhone SE generasi baharu tahun hadapan dijangka akan dilengkapi USB-C dan juga Apple Intelligence menjadikan ini adalah iPhone generasi terakhir yang paling mampu milik dengan Lightning yang masih dijual.
- 64GB RM2,199
- 128GB RM2,449
- 512GB RM2,949
Produk Audio
Ya, AirPods dan AirPods Max telah menggunakan USB-C tetapi bagi mereka yang masih menggemari mikrofon pada EarPod dan belum menggunakan iPhone 15 ke atas – usah risau kerana Apple masih menjualnya. Malah jika ingin digunakan bersama peranti lain dengan bicu audio, kabel penyesuai turut masih ditawarkan.
- Kabel Audio Lightning ke 3.5mm 1.2 meter – RM219
- EarPods Lightning – RM99

Kabel & Penyesuai
Jika anda adalah pengguna yang tidak sukakan informasi teknikal dan malas ingin mencari kabel jenama pihak ketiga yang diiktiraf, pelbagai kabel dan penyesuai berasaskan Lightning masih dijual oleh Apple Malaysia. Penyesuai VGA, kabel pihak ketiga, kabel pendek semuanya ada.
- Penyesuai Kamera Lightning ke USB 3 – RM179
- Penyesuai USB-C ke Lightning – RM159
- Penyesuai Lightning ke Digital AV – RM239
- Penyesuai Lightning ke VGA – RM239
- Kabel USB-C ke Lightning Cable (1m) – RM99
- Kabel USB-C ke Lightning (2m) – RM159
- Kabel Lightning ke USB (1m) – RM99
- Kabel Lightning ke USB (2m) – RM159
- Kabel mophie USB-C ke Lightning (3M) – RM149
- Kabel mophie USB-A ke Lightning (3M) – RM149
- Kabel Lightning ke USB (0.5m) – RM89

Dua produk terakhir adalah dalam kategori pengecas dan gaming di mana hanya terdapat dua produk yang dijual Apple Malaysia. Kedua-duanya adalah jenama pihak ketiga dab mempunyai sambungan dan kabel Lightning terus terbina.
Pengecas & Powerbank
- mophie powerstation plus 10K – RM449.95
Gaming
- Alat Kawalan Gaming Nirwayar SteelSeries Nimbus+ – RM299.95

Walaupun Apple secara perlahan telah berpindah kepada USB-C, pengguna yang belum bersedia menaiktaraf kepada iPhone generasi baharu masih selamat. Jika Apple berhenti menjualnya, pengeluar aksesori pihak ketiga masih akan menawarkannya selagi produk Apple dengan Lightning masih disokong dan boleh digunakan. Kelebihan membeli aksesori pihak ketiga adalah harga jualan yang lebih mampu milik dan tiada kerisauan yang penjualan akan terus dihentikan.