Intel mengesahkan cip Panther Lake dan Nova Lake mereka tidak lagi akan dilengkapi memori terbina seperti cip Lunar Lake. Ini diumumkan oleh CEO Pat Gelsinger ketika membentangkan laporan kewangan syarikat untuk Q3 2024. Pengeluaran Lunar Lake menelan belanja yang tinggi kerana memerlukan RAM keluaran syarikat ketiga serta bergantung kepada pengeluaran wafer oleh TSMC.

Intel ingin mengurangkan kos pengeluaran cip mereka dengan menggunakan fabrikasi 18A mereka sendiri dan kembali kepada rekaan cip tanpa memori terbina. Ia akan dilancarkan pada H2 2025 dengan 70% cip akan dikilangkan sendiri oleh Intel tanpa perlu menggunakan kemahiran TSMC.
Penggunaan memori terbina pada cip menyumbang kepada pengurangan penggunaan bateri sehingga 40% pada cip Lunar Lake. Pilihan kembali kepada penggunaan RAM luaran ini pastinya akan memberikan impak kepada prestasi komputer riba dengan cip Intel tahun depan.

Pada waktu yang sama barisan produk Intel khususnya yang melibatkan pusat data akan dipermudahkan dengan jumlah SKU yang lebih rendah. Intel juga mungkin akan menamatkan pengeluaran kad GPU diskrit dengan tumpuan diberikan kepada GPU terbina dalam cip sahaja selepas ini. Masa depan GPU Intel Battlemage yang diramalkan akan dilancarkan penghujung tahun ini kini menjadi tanda tanya.
Kesemua pengumuman yang dilakukan ini adalah bagi mengurangkan perbelanjaan oleh Intel yang berhadapan tahun 2024 yang cukup mencabar. Pembuangan tenaga kerja dan pembatalan beberapa kilang telahpun dilakukan.