Projek Pesawat Hipersonik Skylon Terkubur Selepas Syarikat Bankrap
Effi Saharudin
Pembangunan pesawat hipersonik Skylon kali pertama kami laporkan pada tahun 2015. Pada waktu tersebut Skylon dibangunkan oleh syarikat Reaction Engine yang ingin menghasilkan pesawat kargo angkasa lepas bagi kegunaan United Kingdom. Ini dilakukan dengan membangunkan enjin SABRE (Synergetic Air-Breathing Rocket Engine) yang boleh berfungsi sebagai enjin jet dan roket secara serentak.

Pembangunan Skylon dan enjin SABRE kini terkubur selepas Reaction Engine memfailkan notis bankrap ada 31 Oktober lalu. Operasi syarikat tidak dapat diteruskan selepas ia gagal mengumpulkan dana yang diperlukan. Enjin SABRE telah dibangunkan sejak 35 tahun lalu tetapi masih belum menjadi realiti dan sekadar hanya berjaya melakukan beberapa ujian.

Sasaran asal ialah SABRE digunakan pada Skylon yang boleh terbang pada kelajuan mencecah 5000 km/j. Ia akan terbang seperti pesawat biasa di bumi menggunakan enjin jet sebelum SABRE mengubah ke mod roket untuk terbang ke angkasa lepas.
Selain menyebabkan projek Skylon tergendala, pembangunan senjata hipersonik buatan kendiri UK juga kini terjejas memandangkan teknologi enjin SABRE juga sepatutnya digunakan.