Ulasan Hisense U7K – TV 100 Inci Gergasi Yang Banyak Ciri
Effi Saharudin
TV pintar dengan sistem operasi VIDAA mula muncul di pasaran Malaysia pada tahun 2020 dan kali pertama saya mengulasnya ialah Toshiba 55Z870 pada Februari lalu. TV Toshiba ini ialah model mampu milik dengan beberapa kekurangan khususnya pada sistem operasi VIDAA yang masih belum matang. Lapan bulan berlalu dan saya kini mengulas pula TV Hisense U7K 4K Mini-LED yang bukan sahaja mempunyai prestasi visual yang baik tetapi sistem operasi VIDAA yang semakin matang.
Spesifikasi
| Hisense U7K | |
|---|---|
| Saiz Skrin | 100-inci |
| Resolusi | 3840×2160 pixel (144Hz) |
| Panel | Mini LED |
| Cip | MediaTek MT9618 4 Teras |
| Memori | 3GB RAM |
| Storan | 16GB |
| Sistem Operasi | VIDAA U7 |
| HDR | HDR 10+ ADAPTIVE Dolby VISION IQ HDR 10 HLG HDR |
| Keterangan Maksimum | 1000 nits |
| Audio | 60W, Dolby Atmos |
| I/O | 2x HDMI 2.1 (1x eARC) 2x HDMI 2.0 2x USB-A 2.0 1x RF 1x AV 1x Audio optikal 1x LAN |
| DTTV | DVB-T / DVB-T2 |
| Pembantu Maya | VIDAA Voice |
| Internet | LAN/ WiFi 5 |
| Bluetooth | BT 5.0 |
| Chromecast | Tiada |
| AirPlay 2 | Ya |
| Saiz | 2235 × 1318 × 500 mm (dengan tapak) |
| Berat | 73.5 kg (dengan tapak) |
| Harga Jualan | RM 4999 |
Rekaan
Rekaan TV ini adalah standard dengan dua kaki logam yang memastikan kestabilan TV apabila diletakkan di atas permukaan meja atau lantai. Dengan saiz skrin 100″ Mini LED, platform yang stabil adalah diperlukan supaya pemilik tidak perlu risau ia akan terjatuh. Izinkan saya menyentuh mengenai proses pemasangan U7K. Ia sebuah TV yang paling besar pernah diulas di Amanz. Berat pakej adalah melebih 100 kilogram dengan TV pula seberat 73.5 kilogram dengan tapak dipasang.

Sungguhpun begitu proses pemasangan hanya memerlukan dua orang sahaja kerana kotak direka untuk memudahkan proses pemasangan tapak dan juga mengangkat TV apabila siap dipasang. Bagi yang lebih gemar menggantung TV, terdapat cagak VESA 400×600 mm di bahagian belakang.

Skrin adalah dari jenis Mini LED dengan resolusi maksimum 4K dan kadar segar semula sehingga 144hz dalam mod gaming. Secara lazim ia berfungsi pada kadar 60Hz yang masih menawarkan pengalaman menonton yang nampak lancar. Terdapat sokongan mod HDR10 dan Dolby Vision. Kesemua aplikasi platform penstriman yang diuji menyokong mod HDR ini tanpa sebarang isu juga pada resolusi 4K. Jika anda ingat pada Toshiba 55Z870, tidak semua mod HDR disokong dan Disney+ Hotstar pula resolusi terhad kepada FHD sahaja.

Sudut pandangan skrin adalah amat memuaskan. Apabila skrin sebesar 100″, di mana anda duduk tidak akan mendatangkan perbezaan kerana TV adalah cukup besar. Yang menjadi isu hanyalah dari jarak mana anda duduk. Pada hemat saya, untuk tontonan paling memuaskan anda perlu duduk dari jari 5-6 kaki daripada skrin. Jika duduk terlalu hampir, saya rasakan imej 4K pada skrin 100″ akan nampak tidak cukup tajam dengan artifak pada video dapat dilihat dengan jelas.

Pilihan I/O adalah 2X HDMI 2.1 (satu eARC), 2x HDMI 2.0, 2X USB-A 2.0, RJ45 LAN, output audio, input audio, output optikal, output DVB-T / DVB-T2 dan antena. Majoriti I/O diletakkan pada bahagian kanan televisyen dengan kesemua port sambungan menghala ke sisi. Lokasi port adalah mudah untuk diakses bagi sebuah TV yang saiznya adalah cukup besar.
Penggunaan Dan Kualiti Visual
Kualiti visual adalah amat memuaskan bagi sebuah TV dengan panel Mini LED. Imej mempunyai keterangan yang memuaskan serta boleh memaparkan kandungan berwarna yang nampak hidup. Tiada isu ghosting dikesan walaupun dalam babak aksi yang bergerak pantas. Terdapat sokongan pelbagai mod Dolby Vision yang boleh dipilih oleh pengguna. Dengan mod Dolby Vision IQ yang turut disertakan, tetapan TV akan diubah secara automatik mengikut kandungan yang sedang ditonton dan keterangan cahaya persekitaran.

Seperti yang telah dinyatakan di atas sudut pandangan juga amat baik dengan tiada perubahan warna yang terlalu jelas apabila menonton skrin pada sudut lebih tajam. Bagi penggemar menonton folem, Filmmaker Mode boleh diaktifkan dengan ia memastikan ciri motion smoothing yang membuatkan kandungan filem nampak seperti drama Samarinda. Set kelengkapan ciri pada U7K adalah cukup memuaskan pada hemat saya serasi dengan statusnya sebagai TV mercu keluaran HiSense tahun ini.

Yang merisaukan hanya Disney+ Hotstar kerana kandungan HDR tidak disokong dan resolusi dihadkan ke FHD sahaja. Tidak tahu kenapa dua ciri penting ini hilang pada Disney+ Hotstar sedangkan aplikasi disokong secara rasmi pada TV dengan ia terpasang sejurus selepas TV dihidupkan pertama kali.
Malang sekali saya tidak berkesempatan mencuba mod 144Hz kerana tidak mempunyai komputer gaming yang cukup berkuasa. Jadi ujian dilakukan sekadar menggunakan PlayStation 5 dan sebuah komputer riba biasa sahaja. Kedua-dua konsol boleh dimainkan pada kadar bingkai 4K 120Hz yang saya rasakan cukup lancar. Dua port HDMI 2.1 diberikan pada TV ini membolehkan dua konsol generasi semasa dinikmati pada tetapan paling tinggi dibantu dengan mod AMD FreeSync bagi mengelakkan grafik nampak terkoyak.

Mod gaming yang diberikan juga mempunyai tetapan khas untuk permainan video Black Myth Wukong. Menurut Hisense, U7X telah ditala untuk memainkan Black Myth Wukong pada tetapan permainan yang terbaik. Turut disertakan ialah mod lain untuk permainan jenis FPS, aksi dan banyak lagi. Menerusi palang mod gaming ini, pengguna dapat melihat kadar FPS masa nyata, mod HDR yang sedang digunakan serta pelbagai lagi tetapan yang akan membantu sesi permainan video pengguna.
Tetapi masih ada kekurangan. Sebagai contoh lampu belakang (backlight) untuk Mini LED menghasilkan kesan halo pada bahagian bingkai apabila memainkan babak gelap. Warna hitam legap tidak dapat dinikmati kerana ini ialah kekurangan teknologi Mini LED berbanding panel OLED.
Audio
Speaker menyokong audio Dolby Atmos sebagai padanan paling serasi dengan sistem visual Dolby Vision. Speaker terdiri daripada 2x15W, 1x20W dan 2x5W dengan output kuasa keseluruhan 60W. Pada unit yang diulas, saya tidak dapat menggunakan sistem Dolby Atmos yang disertakan kerana TV mula bergetar sehingga menghasilkan bunyi yang sangat tidak menyenangkan. Apabila tetapan audio yang lebih lantang digunakan, sekali lagi keseluruhan TV bergetar menyebabkan saya tidak selesa untuk menonton.

Sepanjang ulasan saya lebih selesa memadankan U7K dengan sebuah soundbar kerana sistem audio TV ini mengecewakan. Terdapat sokongan sambungan output eARC, optikal, dan bicu audio 3.5mm.
VIDAA U7

Sistem operasi VIDAA yang digunakan nampak mirip dengan antaramuka Tizen OS yang terkini. Sebagai pengguna TV Samsung, saya tidak mempunyai masalah untuk melakukan navigasi atau mencari tetapan TV. Cip yang digunakan ialah MediaTek MT9618 dengan CPU empat teras, memori 3GB RAM dan storan 16GB. Sungguhpun spesifikasi pemproses dan RAM adalah rendah, U7K beroperasi dengan amat lancar.
Aplikasi boleh dilancarkan dalam masa kurang sesaat. Proses menukar antara aplikasi juga sepantas kilat tidak seperti pengalaman saya mengulas beberapa TV dengan Google TV. VIDAA ialah sistem operasi yang masih baharu tetapi pengalaman penggunaannya lebih baik berbanding sistem operasi TV pintar lain yang lebih matang.

Terdapat aplikasi popular YouTube, YouTube, Prime Video, Netflix, Disney+ Hotstar, Apple TV+, iQiyi dan banyak lagi. Ianya terpasang sebaik sahaja TV dibuka. Kesemuanya juga berfungsi tanpa sebarang isu untuk menyokong mod 4K, HDR dan audio Dolby Atmos. Aplikasi yang saya sedari tiada hanyalah HBO Go. Dengan HBO Go akan berubah ke MAX bulan ini, ketiadaannya tidak dirasakan sangat. Semua aplikasi yang tiada masih boleh diakses menggunakan pelayar web yang disertakan oleh Hisense.
Ia turut menyokong AirPlay 2 dan Anyview Cast bagi mereka yang ingin melontar kandungan dari telefon pintar, tablet atau komputer terus ke skrin TV. Ini adalah satu lagi cara untuk menyelesaikan masalah tidak ada aplikasi pada U7K.

Satu lagi perkara yang harus dipuji ialah sistem arahan suara yang memahami Bahasa Melayu. Setahu saya VIDAA ialah satu-satunya sistem operasi TV pintar yang menyokong arahan dalam Bahasa Melayu. Saya boleh menukar tahap kelantangan audio, melancarkan aplikasi, menukar input dan banyak lagi dengan bahasa ibunda. Sepatutnya TV untuk pasaran tempatan seharusnya turut menyokong arahan suara dalam bahasa tempatan.
Alat Kawalan Jauh
Alat kawalan jauh U7K ialah yang paling “melampau” pernah saya lihat. Melampau kerana terdapat 12 butang pintasan pantas untuk aplikasi YouTube, Netflix, Apple TV+, Prime Video, Plex dan banyak lagi. Jarang sekali melihat jumlah pintas sebanyak ini di bahagian atas alat kawalan jauh. Butang kesemuanya diperbuat daripada bahan getah yang tidak menyakitkan tangan.

Ia turut hanya memerlukan dua bateri AA untuk berfungsi. Saiznya yang besar membuatkan ia tidak mudah hilang berbanding alat kawalan jauh keluaran Apple dan Samsung. Rekaannya mungkin tidak futuristik tetapi ia amatlah praktikal.
Kesimpulan
Dengan harga jualan RM22,999 sebuah, Hisense U7K bukanlah sebuah TV pintar harga rahmah. Tetapi jika dibandingkan dengan TV lain dengan saiz skrin yang sama, U7K ialah model yang paling mampu milik. Ia menawarkan pengalaman visual yang memuaskan, kadar bingkai tinggi untuk sesi gaming, sokongan aplikasi yang meriah dan sistem operasi yang tidak kurang cirinya dengan sistem operasi lain di pasaran. Paling penting VIDAA adalah jauh lebih lancar berbanding sistem operasi lain yang lebih terkemuka.

Kekurangan hanyalah pada audio dan juga panel hanya sekadar 4K Mini LED. Untuk paparan imej terbaik, panel 8K OLED masih lagi pada pendapat saya terbaik di pasaran kerana bukan sahaja nampak lebih tajam tetapi paparan warna lebih tepat.
Pro
- Skrin 4K yang tajam 144Hz dengan warna nampak hidup.
- Saiz skrin gergasi memberi dimensi tontonan berbeza.
- Sokongan Dolby Vision dan Dolby Atmos.
- Sistem operasi VIDAA semakin baik sokongan aplikasinya.
- Boleh menggunakan Apple AirPlay.
- Menyokong arahan suara dalam Bahasa Melayu.
Kontra
- Ruang di bawah TV terlalu kecil untuk meletakkan soundbar atau konsol.
- Rekaan yang tidak kontemporari.
- Prestasi audio kurang memuaskan.
